Penoreh getah dapat bantuan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BERTAM 6 Mei. – Seramai 200 penoreh getah sekitar daerah Jasin menerima sumbangan berupa pelbagai barangan keperluan dapur sempena Ramadan dan perayaan Aidilfitri tahun ini.

Rata-rata mereka yang ditemui melahirkan kesyukuran kerana terpilih menerima sumbangan itu yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan mereka yang terkesan ekoran harga getah yang tidak menentu di pasaran.

Seorang penoreh, Abu Bakar Hassan, 70, dari Taman Maju berkata, tidak banyak persiapan dibuat bagi menyambut Ramadan kali ini memandangkan kekangan sumber kewangan yang agak terhad.

ABU Bakar.

Menurutnya, sambutan perayaan Aidilfitri akan datang juga tidak seberapa kerana suasana kurang meriah disebabkan ketiadaan anak dan cucu yang berada di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, hati yang sedih terasa terubat sedikit apabila kami (penoreh getah) diraikan pada majlis penyampaian sumbangan hari ini. Sumbangan barangan dapur yang diberi dapat menampung kekurangan barang di rumah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Japerun Bemban.

Abu Bakar antara penerima sumbangan barangan keperluan dapur anjuran NGO Pertubuhann Warisan Ukhwah dengan kerjasama Malaysia Rubber Council (MRC) yang disampaikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

ABDUL Rahim.

Selain Abu Bakar, rakannya, Abdul Rahim Mat Han, 72, berkata, sumbangan yang diberikan tepat pada waktunya kerana terdapat sebahagian penoreh getah amat memerlukan bantuan seperti itu ekoran masalah kewangan yang dihadapi.

“Tidak semua penoreh yang hidup senang dan mendapat bantuan kewangan daripada anak-anak mereka kerana ada dalam kalangan mereka yang anak masih kecil dan ramai bersekolah.

“Jadi, dengan bantuan barangan dapur ini dapatlah mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

MAHAT.

Bagi Mahat Maklum, 74, golongan penoreh sepertinya wajar dibantu kerana sumber pendapatan hidup bergantung kepada harga komoditi yang tidak menentu.

“Kami sudah lama menjadi penoreh dan jika tidak bekerja sebagai penoreh apa lagi pekerjaan lain yang boleh kami lakukan. Sebab itu kami berharap lebih ramai pihak prihatin dengan nasib golongan penoreh ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

360
Kongsi :
Previous post Kawalan ketat PKPD di Kampung Permatang Tulang bermula tengah malam ini
Next post KPPK runding pengecualian dapatkan 20,000 pekerja asing- Khairuddin
Ubah saiz-+=