Kawalan ketat PKPD di Kampung Permatang Tulang bermula tengah malam ini

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SUNGAI RAMBAI 6 Mei. – Pasukan tentera dari Unit Rejimen ke-21 Artileri Diraja, Kem Syed Sirajuddin, Gemas mula memasang kawad berduri di Kampung Permatang Tulang, Sebatu dekat sini, selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 12 tengah malam ini.

Kawad berduri besi itu mula dipasang di dua pintu masuk laluan ke kampung berkenaan di Jalan Laidin dan Jalan Ibrahim sejak jam 3 petang tadi oleh pasukan berkenaan membabitkan kira-kira 18 pegawai dan anggota pasukan.

SIAP siaga… anggota tentera dari Kem Terendak dan Kem Syed Sirajuddin Gemas memasang kawad duri di Jalan Ibrahim, Sungai Rambai susulan pelaksanaan PKPD di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin. Foto: MR. Azli.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) pada jam 9.41 malam mendapati dua khemah turut dipasang di kedua-dua laluan berkenaan yang mengambil jarak kira-kira tiga kilometer.

Pelaksanaan PKPD di kawasan itu membabitkan 150 rumah kediaman yang menempatkan kira-kira 600 penduduk.

ANGGOTA tentera bertungkus lumus memasang tiang kawad duri menggunakan alat khas di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin. Foto: MR Azli.

Difahamkan, terdapat kira-kira empat hingga lima laluan tikus turut ditutup dengan briket simen bagi mengelakkan penduduk kampung berkenaan ‘curi-curi’ keluar daripada kawasan zon merah itu dalam tempoh 14 hari.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula tengah malam ini di Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, sebagai usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19.

AWAS… ‘jalan tikus’ dikenal pasti di Kampung Permatang Tulang, Sebatu, Jasin turut ditutup dan dipasang kawad duri susulan pelaksanaan PKPD bagi mencegah orang ramai lolos untuk rentas kawasan, daerah dan negeri. Foto: MR. Azli.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman sebelum ini dilaporkan berkara, kawasan kampung itu merupakan kawasan komuniti yang pertama dikenakan PKPD di negeri ini.

Katanya, penguatkuasaan arahan itu susulan berlaku peningkatan mendadak kes sehingga menjangkiti beberapa generasi yang membabitkan komuniti, institusi keagamaan dan pendidikan serta tempat kerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

887
Kongsi :
Previous post Belanja RM30 hingga RM50 di Malakat Mall, percuma minyak masak
Next post Penoreh getah dapat bantuan
Ubah saiz-+=