Penyamun ‘lone ranger’ diberkas polis

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PORT DICKSON 25 Ogos – Polis menahan seorang penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan pecah masuk stesen minyak serta beberapa kedai di sekitar Port Dickson, Seremban dan Nilai membabitkan kerugian berjumlah RM69,713.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam insiden pada kira-kira 3.27 pagi kelmarin, pihaknya menerima panggilan telefon daripada individu yang bekerja di syarikat penggera keselamatan memaklumkan sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban telah dipecah masuk.

Beliau berkata sejurus tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati cermin kaca stesen minyak itu telah dipecahkan dan pemeriksaan lanjut di dalam kedai menjumpai suspek lelaki berusia 29 tahun yang bersembunyi di bawah kaunter pembayaran.

KETUA Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed.

“Antara barang dirampas ialah wang tunai sebanyak RM500, tukul besi, sarung tangan dan sebuah motosikal.

“Pihak polis turut membuat pemeriksaan di sebuah rumah yang pernah didiami oleh lelaki itu di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang.

“Turut dirampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah kedai dan pecah stesen minyak antaranya rokok pelbagai jenama, gelang tangan, telefon bimbit dan cermin mata,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Aidi Sham berkata, siasatan juga mendapati suspek aktif melakukan jenayah secara solo sejak Oktober tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.

Katanya suspek, yang tidak memiliki rekod jenayah serta bebas daripada pengaruh dadah, kini direman selama lima hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post Melaka hampiri 50 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin
Next post Harga telur ayam stabil di pasaran
Ubah saiz-+=