Peralihan fasa PPN bantu rakyat rasa selamat

0
688
ABDUL Rauf, Ketua Penyelidik Kumpulan Komunikasi Kesihatan UiTM cawangan Melaka.

AYER KEROH 22 Julai – Peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) lebih cepat dapat memberi impak positif dari sudut psikologi rakyat untuk mEnjalani kehidupan seharian.

Ketua Penyelidik Kumpulan Komunikasi Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Prof Madya Dr Abdul Rauf Ridzuan berkata, peralihan fasa itu mampu membuatkan rakyat berasa selamat serta meredakan tekanan selepas berdepan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Katanya, peralihan fasa juga mampu mengurangkan kadar jenayah selain turut mengurangkan kes-kes depresi dan bunuh diri.

“Apabila memasuki fasa 2, 3 dan 4 PPN, rakyat dapat merasakan keadaan makin terkawal dan dari segi psikologi mereka akan berasa lebih selamat.

“Ia juga dapat membantu dari sudut pekerjaan, selain perniagaan dilonggarkan, sekali gus membantu mereka yang hilang punca pendapatan sebelum ini.

“Secara tak langsung ia juga mengurangkan kadar pengangguran dan apabila pengangguran menurun, kes jenayah juga akan menurun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Justeru, beliau berkata, apa yang diperkatakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengenai rayuan pertimbangkan peralihan fasa 2 lebih awal bagi negeri Melaka masih mempunyai asas yang kukuh.

Ia tidak lain untuk membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa selepas lebih sebulan seakan hidup ‘terkurung’.

Bagaimanapun, katanya, untuk menikmati peralihan fasa itu, sesuatu perlu dilakukan segera terutama membabitkan fasiliti kesihatan negeri yang semakin tenat.

“Melaka negerinya kecil tetapi kes begitu tinggi. Itu justifikasi yang cukup untuk kerajaan negeri meminta bantuan kerajaan pusat dari sudut fasiliti kesihatan di negeri ini.

“Peningkatan kes tidak dinafikan berpunca penutupan sektor yang tidak menyeluruh terutama apabila banyak kilang masih dibuka dan akhirnya ia merebak kepada kepada masyarakat luar.

“Selain itu, faktor kepadatan penduduk juga menjadi penyumbang utama kes semakin meningkat memandangkan Melaka menjadi antara lima negeri dengan kepadatan penduduk yang tinggi, sekali gus menyukarkan kawalan.

“Mahu atau tidak kita perlu terima hakikat kes COVID-19 sememangnya tinggi dan perlu mendapatkan bantuan segera untuk mengurangkan ketenatan fasiliti kesihatan dan kemudian barulah kita boleh berkira-kira untuk beralih fasa,” katanya.

Abdul Rauf yang juga Ketua Pusat Pengajian Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka berkata, selain peralihan fasa, hanya satu sahaja cara untuk keluar dari kemelut pandemik COVID-19 iaitu menerusi vaksinasi.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan kekesalan melihat kadar vaksinasi yang begitu perlahan di negara ini.

“Ada yang daripada Februari mendaftar sehingga kini belum menerima vaksin. Kadar vaksinasi kita pada masa kini juga masih rendah iaitu 32.4 peratus bagi dos 1 mengikut populasi.

“Kenapa kita tidak melihat sistem yang lebih mudah, cekap dan efisien seperti yang dipraktikkan negara-negara luar? Daftar 10 minit dan kemudian selesai divaksin,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, untuk mengurangkan kemarahan rakyat pada masa kini, kerajaan perlu menunjukkan keprihatinan dalam membantu rakyat.

“Kerajaan baik Perdana Menteri mahupun Ketua Menteri perlu selalu turun padang dan tunjukkan keprihatinan serta apa yang dilakukan untuk membantu rakyat untuk meredakan kemarahan.

“Masalah masa kini ialah, rakyat lebih melihat berita yang tular seperti orang-orang penting berpesta durian, pergi bercuti ke luar negara dan bersuka ria, sedangkan rakyat sedang terseksa.

“Contohilah apa yang dilakukan Ustaz Ebit Lew. Ia bukan untuk tunjuk riak atau takbur, tetapi ia perlu dilakukan kerana jika ia tidak ditunjukkan, rakyat tak tahu dan beranggapan kerajaan sedang lepas tangan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.