Percuma suntikan vaksin COVID-19 di fasiliti swasta terbabit program imunisasi

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PUTRAJAYA 15 Mac. – Individu yang mendapat temu janji suntikan vaksin COVID-19 di hospital atau klinik swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tidak perlu membayar sebarang caj, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

“Caj tersebut ditanggung oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan program imunisasi itu, di sini hari ini.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 ditetapkan berdasarkan kepada alamat yang didaftarkan individu melalui aplikasi MySejahtera.

“Kalau pusat suntikan vaksin yang berhampiran dengan alamat yang diberikan adalah hospital swasta maka mereka akan ke hospital swasta. (Semuanya) berdasarkan lokasi sebab kami mahu memudahkan program imunisasi ini,” katanya.

Mengenai perkembangan skim darurat iaitu Tabung Mudarat Vaksinasi Kebangsaan bagi pembayaran pampasan kepada mereka yang menghadapi kesan sampingan selepas suntikan vaksin COVID-19, Khairy berkata perkara itu akan dibincangkan Rabu ini dalam mesyuarat Kabinet dan keputusannnya dijangka diumumkan Isnin depan.

Selepas sidang media itu, Khairy melancarkan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) iaitu sukarelawan terlibat akan membantu petugas barisan hadapan dalam urusan suntikan vaksin COVID-19 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

MyVac yang merupakan kelolaan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19, sehingga kini telah menerima 7,200 permohonan daripada golongan belia, pelajar institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO), katanya.

“Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas boleh mendaftar sebagai satu daripada dua kategori iaitu sukarelawan am atau sukarelawan perubatan melalui laman sesawang www.myvac.com.my,” katanya, yang menambah sukarelawan MyVac akan ditugaskan di lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negara.

Majlis pelancaran MyVac itu turut dihadiri tetamu kehormat Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post 1.4 juta individu tidak lengkapkan pendaftaran vaksin COVID-19 di MySejahtera
Next post Khairy Jamaluddin suntik vaksin Sinovac Khamis ini
Ubah saiz-+=