Pergerakan rentas negeri kekal tak dibenarkan

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LUMPUR 24 April. – Kerajaan kekal tidak akan membenarkan pergerakan rentas negeri berikutan ia adalah satu daripada penyebab peningkatan kes positif harian COVID-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal COVID-19 semalam.

Katanya beliau sedia maklum keputusan ini sudah tentu tidak disukai rakyat, namun ia perlu diambil untuk menyekat penularan pandemik berkenaan.

“Di negara-negara lain tengok peningkatan kes yang berlaku. Di India kini rekodkan kes positif COVID-19 lebih 200,000 kes sehari melonjakkan angka positif keseluruhan melepasi 14 juta. Di ibu negara New Delhi puluhan hotel dan dewan perkahwinan ditukar menjadi pusat menempatkan pesakit COVID-19.

“Sudah pasti kita tidak mahu Malaysia jadi seperti itu. Jadi sekali lagi saya tekankan, supaya tingkatkan kawalan kendiri dan patuhi SOP, kita jaga kita,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, sejak 20 Disember 2020 hingga 20 April lalu, 38 kluster rentas negeri melibatkan 5,471 kes secara keseluruhan direkodkan dengan bulan ini sahaja tujuh kluster rentas negeri membabitkan 423 kes dilaporkan.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) juga pernah merekodkan kes kluster tertinggi iaitu Kluster Pasai dengan 2,693 kes, berpunca daripada seorang warga Sarawak yang balik ke kampung pada waktu Krismas sehingga COVID-19 menular ke seluruh Sarawak.

Menurutnya di Kelantan pula sejak 7 Disember tahun lalu, 10 kluster rentas negeri telah direkodkan dengan sebahagiannya masih aktif sehingga kini dan menjangkiti beberapa generasi.

“Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung menghadiri majlis-majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia kini telah memasuki gelombang keempat penularan COVID-19, Ismail Sabri berkata negara masih berada di gelombang ketiga fasa dua.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 140 individu dikompaun manakala 19 lagi direman semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan kesalahan tidak mendaftar masuk premis mencatatkan jumlah tertinggi melibatkan 62 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (39), tidak menjaga penjarakan fizikal (10) dan lain-lain (48).

Selain itu, katanya 56 pendatang tanpa izin ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

328
Kongsi :
Previous post SAMB kenal pasti tapak bina kolam takungan air terawat berpusat
Next post Benua Melayu: Exploring another World View
Ubah saiz-+=