‘Perjalanan mencari reda Allah masih jauh’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Januari- Meskipun sudah 14 tahun memeluk Islam, Nur Diana Geruka Abdullah, 40, menganggap pengetahuannya mengenai agama masih cetek dan mahu terus ‘dibimbing’ demi mencari keredaan Allah SWT.

Nur Diana yang juga penerima Anugerah Pelajar Terbaik Tahap 3 Kelas Bimbingan Al-Quran dan Fardhu Ain Negeri Melaka dengan pencapaian 96.3 peratus berkata, bimbingan amat perlu agar perasaan cintanya kepada Islam terus menebal selain kekal berada pada landasan yang betul.

Jurutera di sebuah syarikat swasta ini berkata, kecenderungannya kepada Islam bermula sejak bangku sekolah lagi dan bersyukur kerana diberikan hidayah untuk mengucapkan dua kalimah syahadah pada Mei, 2010.

“Tidak mungkin dapat dilupakan kenangan bergelar mualaf meskipun langkah itu menyebabkan saya dipinggirkan oleh keluarga sampai sekarang. Namun saya tetap bersyukur dengan apa yang dinikmati ketika ini.

“Alhamdulillah kemudian saya ditemukan dengan seorang hamba Allah iaitu suami yang meyakinkan, memberi penjelasan mengenai cantik dan indahnya agama Islam.

“Selepas beberapa bulan belajar mengenai keindahan Islam dan mendalami al-Quran, saya menerima jawapannya dan bernikah dengan suami pada tahun yang sama saya menjadi mualaf,” ujarnya sebak.

Nur Diana turut meletakkan harapan yang tinggi sekiranya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Balai Islam dapat mewujudkan satu program khas buat mualaf berjaya menamatkan Kelas Bimbingan Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

“Bagi saya dan rakan-rakan mualaf lain, proses mendalami Islam dan Allah masih panjang, memupuk rasa sayang dan mengenali Nabi Muhammad SAW dan lain-lain berkaitan Islam, wajar dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

839
Kongsi :
Previous post KPKM sasar 150,000 hektar kawasan padi guna amalan SMART SBB ala Sekincan
Next post ‘Abang rambut perang’ terkesima terima motosikal di KLIA
Ubah saiz-+=