Perjuang fasiliti kesihatan terbaik demi warga Taboh Naning

Masa Membaca:3 Minit, 25 Saat

TABOH NANING 17 Disember – Meskipun jumlah penduduknya masih lagi rendah dan terletak di kawasan luar bandar, mutu perkhidmatan dan kemudahan kesihatan bagi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning perlu diberikan perhatian segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin berkata, DUN di Melaka Utara itu termasuk dalam jajaran atau perancangan besar revolusi ekonomi dengan perancangan pembangunan kawasan perindustrian baharu.

Beliau yang berpandangan jauh, merasakan pembinaan sebuah fasiliti kesihatan baharu yang lebih besar, selesa dan luas amat perlu dalam menyokong pertumbuhan industri serta ekonomi setempat yang bakal berkembang tidak lama lagi.

Zulkiflee berkata, berikutan itu segala perancangan membabitkan kemudahan infrastruktur asas dan kesihatan perlu dijalankan sekarang agar seiring dengan pembangunan sedang dirangka Kerajaan Negeri.

“Pejam celik tidak lama lagi mungkin status luar bandar DUN Taboh Naning akan bertukar kepada pinggir bandar dan seterusnya. Semua ini berlaku dengan pantas kerana Kerajaan Negeri mempunyai perancangan besar untuk kawasan Melaka Utara dan Taboh Naning tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya.

“Ketika ini jumlah penduduk di Taboh Naning semakin meningkat dengan pembukaan banyak taman perumahan baharu setiaptahun. Saya khuatir jika perancangan untuk menyediakan kemudahan fasiliti kesihatan baru tidak dilaksanakan sekarang ia akan beri kesan kepada penduduk.

“Lebih ramai penduduk pastinya kita memerlukan sebuah fasiliti kesihatan yang lebih baik dan lengkap untuk keselesaan semua,” katanya.

3
ZULKIFLEE melawat pameran kesihatan pada Karnival 1M1S Peringkat Sekolah Kebangsaan Ayer Pa’abas Tengah, baru-baru ini.

PERKHIDMATAN KESIHATAN TERBAIK

Bagi tempoh lima tahun ini, Zulkiflee berjuang untuk mendapatkan sebuah klinik kesihatan baru di DUN berkenaan kerana baginya ia adalah komponen utama dalam pembangunan Taboh Naning.

Malah beliau membayangkan fasiliti kesihatan baharu itu nanti turut menyediakan perkhidmatan pakar pelawat untuk temu janji penghidap masalah kesihatan tertentu, sekali gus memudahkan dan menjimatkan kos perjalanan penduduk dalam kalangan mereka kurang berkemampuan.

“Kemudahan di fasiliti sedia ada ini sudah bagus tetapi sesuai dengan peredaran zaman dan pembangunan Negeri Melaka apa salahnya kita berikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

LOKASI KLINIK LAMA TIDAK RELEVAN

Berdasarkan pemerhatiannya Zulkifli mendapati Klinik Kesihatan Simpang Ampat tidak dapat menampung jumlah pesakit dan pelawat yang tinggi terutama pada waktu puncak.

Menurutnya itu adalah penyebab utama bagi beliau untuk menyegerakan usaha pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu agar perkhidmatan diberikan lebih berkualiti dan efisien.

“Kita lihat lokasi klinik yang berada di atas bukit dan sempit itu menyukarkan rakyat terutama warga emas yang perlu mendapatkan perkhidmatan berkala.

“Pandang kesukaran rakyat ini pada sudut yang serius, memang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan perkhidmatan yang kondusif dapat diberikan kepada orang ramai,” katanya.

4
BERSAMA anak muda di Kampung Melekek Luar.

BUKAN OMONG KOSONG

Bukan sekadar omong kosong perjuangan Zulkiflee itu sudah dimulakan dengan menghantar permohonan kepada pihak berkenaan dan setakat ini perkara itu sedang dalam proses kajian, selain pengambilan tanah sedang dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Mengikut perancangan, Klinik Kesihatan Simpang Ampat akan dibesarkan dan dilengkapi bangunan baharu yang pastinya akan turut memberikan suasana bekerja yang lebih berkualiti kepada kakitangan Kementerian Kesihatan ditugaskan di situ.

“Penilaian sedang dijalankan dan pihak terbabit sudah bersetuju dengan cadangan ini, sedikit sebanyak ia melegakan saya, tetapi resah itu belum reda selagi bangunan baharu klinik ini tidak dibina.

“Lokasi dikekalkan di tapak asal, ia adalah kawasan strategik. Kemudahan lain dicadangkan adalah pembinaan kawasan parkir, mungkin ambil masa sedikit kerana tapak ini tanahnya berbukit.

“Taboh Naning ini penduduknya ramai dalam kalangan golongan sudah berusia, jadi diharapkan bila sudah siap nanti mereka akan lebih selesa.

“Jika perlu rawatan berkala dan rujukan biarlah pakar terbabit ke Taboh Naning dan bukan lagi pesakit ke Hospital Alor Gajah seperti sebelum ini,” katanya.

2
ZULKIFLEE ketika mengadakan perjumpaan dengan penduduk di DUN Taboh Naning.

BIODATA:

Nama: Zulkiflee Mohd Zin
Umur: 54

Politik: Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Masjid Tanah

Karier:
-Ahli Dewan Undangan Negeri Taboh Naning (2021 – Kini)
-Ahli Perniagaan

 

Info DUN Taboh Naning

Kampung: 14
Taman Perumahan: 8
Rumat ibadat (masjid): 8
Sekolah: 9 (7 sekolah rendah, 1 sekolah menengah, 1 Maktab Rendah Sains Mara)
Institusi Pengajian Tinggi: 2

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2020
Kongsi :
Previous post Lebih 470 acara pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024
Next post Tanah runtuh: Operasi SAR disambung semula
Ubah saiz-+=