Tanah runtuh: Operasi SAR disambung semula

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BATANG KALI, 17 Dis – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 lagi mangsa yang belum ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, disambung semula 8 pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata operasi SAR hari ini tertumpu kepada dua daripada tiga sektor kawasan pencarian melibatkan sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).

“Tumpuan diberi kepada dua kawasan dipercayai mangsa terperangkap iaitu di Farmview (sektor B) dan Riverside (sektor C)…ia berdasarkan kepada lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut semalam.

“Operasi SAR hari ini juga melibatkan penggunaan jentera berat atau jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang bersama aliran tanah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan empat jengkaut itu bergantung kepada keadaan cuaca dan tanah dalam operasi hari ini.

Semalam tumpuan operasi diberikan kepada tiga sektor A (kem Hillview), B dan C.

Norazam berkata operasi hari ini melibatkan lebih 150 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Katanya, cabaran utama semalam dan hari ini adalah kestabilan runtuhan tanah berikutan masih terdapat aliran air dalam tanah serta kedudukan cerun 45 darjah serta ketebalan runtuhan tanah mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki (6.1 hingga 9.1 meter).

“Tiada pergerakan tanah setakat ini dilaporkan, namun keadaan tanah masih terdapat aliran air dan tanah lembut dikhuatiri boleh berlaku pergerakan dan gelinciran tanah yang boleh mengancam keselamatan pasukan penyelamat,” katanya.

Insiden sekitar 2.42 pagi Jumaat, di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya yang melibatkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1925
Kongsi :
Previous post Perjuang fasiliti kesihatan terbaik demi warga Taboh Naning
Next post Peluru tak lut di badan Md Ali
Ubah saiz-+=