Sorting by

×

PERJUANGAN WANITA DALAM PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN KOMUNITI TERUS MENYALA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 9 September – Persatuan Guru Lepasan Maktab Perguruan Perempuan Melayu, (PGLMPPM) terus memainkan peranan aktif dalam melahirkan wanita berjiwa pendidik dan berjiwa pemimpin.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, manifestasi itu dizahirkan menerusi penganjuran persidangan tahunan yang memasuki edisi ke-40 tahun ini dan Melaka amat berbesar hati apabila menjadi tuan rumah bagi himpunan itu tahun ini.

Jelas beliau, kehadiran perwakilan yang hadir dari seluruh negara membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan perjuangan wanita Melayu dalam pendidikan dan pembangunan komuniti terus menyala dan tidak pernah pudar, sama ada yang masih bertugas mahupun yang sudah bersara.

“Sungguh luar biasa apabila persatuan ini dapat menghimpunkan ahli setiap tahun sambil bertemu dan gigih menyumbang tenaga dan buah fikiran.

“Inilah manifestasi sebenar wanita berjiwa pendidik, dan berjiwa pemimpin dan ia selari dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memperkasa peranan wanita sebagai tulang belakang pembangunan sosial negara.

“Walaupun usia menjangkau 60, 70, 80 bahkan yang berjaya melepasi 90 tahun masih aktif berpersatuan ibarat ’emas makin digilap makin bersinar’.

“Inilah bukti bahawa gerakan wanita bukan sekadar ombak di permukaan, tetapi arus deras yang mampu mengubah landskap sosial negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kebangsaan PGLMPPM Peringkat Kebangsaan Yang Ke-40 di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Dipertua PGLMPPM Dr. Zainun Ishak; Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka Datin Dr. Norshidah Abu Hussin; Pengerusi PGLMPPM Perhubungan Negeri Melaka Dr. Norida Berhan serta lain-lain kenamaan.

Kalsom turut memuji usaha PGLMPPM yang masih aktif dalam bidang penulisan dan perkongsian ilmu meskipun telah bersara daripada dunia pendidikan.

“Benarlah kata-kata bahawa ilmu yang ditabur oleh seorang pendidik tidak pernah layu ditelan zaman, malah terus menyuburkan minda anak bangsa. Syabas dan tahniah PGLMPPM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1442
Kongsi :
Previous post SEMAI SEMANGAT CINTAKAN NEGARA BUKAN BERMUSIM
Next post PELAJAR KKBBM SEDIAKAN SAJIAN UNTUK MAJLIS MAKAN MALAM TYT