Perkenal bakat baharu dondang sayang dalam acara rasmi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 22 Dis. – Bakat-bakat baharu yang dilahirkan menerusi penganjuran bengkel dan pertandingan dondang sayang di negeri ini bakal diketengahkan di dalam majlis-majlis rasmi Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, hal itu bertujuan untuk memastikan seni warisan yang diiktiraf UNESCO sebagai ‘representative list of the intangible cultural heritage of humanity’ itu tidak luput ditelan zaman.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan penuh kepada segala usaha untuk menjaga warisan seni itu khususnya dalam kalangan generasi muda selaras dengan objektif memupuk masyarakat mencintai seni warisan Melayu tradisional.

AMIRUL Ashraff Mohd Hatta dinobat johan vokal remaja dan menerima hadiah kejuaraan daripada Idris.

“Dengan mekanisme penganjuran bengkel dan pertandingan, saya percaya kita dapat memperkenalkan seni dondang sayang ini kepada generasi muda khususnya dan kepada para pelancong amnya sebagai salah satu warisan seni budaya negeri yang masih dikekalkan.

“Pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong dan mendukung program seperti ini yang diadakan pada setiap tahun kerana ia dapat memberi faedah bersama kepada penggiat seni dan orang awam untuk bertukar fikiran tentang keunikan pantun dondang sayang melalui percambahan fikiran serta pertandingan yang sihat di antara peserta dan kumpulan selaras dengan objektif program ini untuk menyatupadukan masyarakat.

“Saya percaya, melalui penganjuran pertandingan dondang sayang ini, pihak penganjur juga boleh mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat di Melaka untuk diketengahkan pada acara-acara rasmi Kerajaan Negeri Melaka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Utama Idris Haron yang hadir merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka.

AKSI Nyala Dance Theatre Kuala Lumpur yang muncul johan kategori tarian.

Pertandingan dondang sayang anjuran Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka itu berjaya mengumpulkan seramai 17 peserta bagi kategori vokal atau nyanyian serta 18 kumpulan untuk kategori tarian yang datangnya dari Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

Di akhir pertandingan menyaksikan Amirul Ashraff Mohd Hatta muncul juara kategori vokal remaja, manakala Yasser Fikri Abu pula menjuarai kategori vokal dewasa.

Kategori tarian menyaksikan Nyala Dance Theatre Kuala Lumpur dinobat selaku johan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Tari Tari Entertainment (Melaka) dan Sanggar Seni Warisan (Selangor).

Views:

1344
Kongsi :
Previous post Empat beranak terkandas di Thailand selamat pulang ke tanah air
Next post Bengkel dedah ‘rahsia’ dondang sayang
Ubah saiz-+=