Perkhidmatan gunting rambut, salun di Melaka dibenar operasi mulai Rabu

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Perkhidmatan gunting rambut, pendandan rambut dan kecantikan serta salun di Melaka dibenarkan untuk beroperasi bermula 10 Jun 2020 selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata perkara tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 pada hari ini yang dipengerusikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata operasi hendaklah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bagi pasar terbuka termasuk pasar pagi, pasar malam dan bazaria juga akan dibenarkan beroperasi berkuat kuasa bermula pada 15 Jun 2020 tertakluk kepada SOP yang akan diselaraskan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar pada 11 Jun 2020.

“Hal ini berikutan kebimbangan Kerajaan Negeri Melaka mengenai kemungkinan akan berlaku pengumpulan orang ramai yang bersesak-sesak di kawasan penganjuran pasar terbuka tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya banyak aspek perlu diteliti dan diperhalusi bagi memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan.

Justeru itu, Sulaiman berkata Kerajaan Negeri Melaka akan mengeluarkan SOP yang lebih ketat bagi mengelak kluster baharu di samping memastikan negeri Melaka terhindar daripada diisytiharkan sebagai kawasan atau zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Melaka yang sentiasa patuh kepada SOP yang ditetapkan dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Views:

937
Kongsi :
Previous post KM puji wajah baharu Melaka Hari Ini
Next post Boleh singgah R&R mulai hari Ini, tetapi perlu patuhi SOP
Ubah saiz-+=