
PERKHIDMATAN KARDIOLOGI, KARDIOTORASIK DI PUTRA SPECIALIST HOSPITAL BERMULA 1 SEPTEMBER
AYER KEROH 20 Ogos – Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd akan menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik bermula 1 September ini selepas memeterai perjanjian kerjasama bersama Institut Jantung Negara (IJN) Sdn Bhd.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemeteraian perjanjian kerjasama sekali gus telah meletakkan Melaka sebagai hab IJN di selatan tanah air.
“Kerjasama strategik di antara IJN dan Putra Specialist Hospital ini berupaya mengembangkan lagi pasaran hospital pakar ini untuk menjadikan Melaka sebagai hab IJN di selatan tanah air.
“Kita juga melihat bahawa pasaran ini akan menjangkau ke Negeri Sembilan dan Johor termasuk negara jiran iaitu Indonesia yang boleh mendapatkan rawatan berkaitan jantung di Putra Specialist Hospital sebelum dirujuk kepada IJN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Antara IJN Holdings Sdn. Bhd. dan Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd Dalam Penyediaan Perkhidmatan Kardiologi Dan Pembedahan Kardiotorasik Di Negeri Melaka, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Pengerusi IJN Holdings Sdn. Bhd., Datuk Seri Chen Chaw Min; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Mohd Zahiruddin Ahmad.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Putra Specialist Hospital menyifatkan kerjasama strategik tersebut sebagai amat membanggakan kerana ia telah meletakkan hospital pakar itu sebagai pusat rujukan berkaitan rawatan dan pembedahan jantung.
“Ini adalah satu perkembangan yang begitu membanggakan kerana bukan sahaja PSH yang akan menjadi sumber untuk dijadikan rujukan, tetapi kita juga membuka ruang kepada setiap hospital pakar dalam Negeri Melaka untuk bersama-sama dengan PSH dan menjadikannya sebagai pusat rujukan kepada IJN.
“Terima kasih kami ucapkan kepada IJN kerana memilih PSH sebagai rakan strategik,” ujarnya.
Sementara itu, Ab Rauf turut berharap kerjasama strategik itu juga dapat dimeterai di Putra Specialist Hospital 2 yang bakal dibina tidak lama lagi, sekali gus meletakkan hospital baharu itu sebagai sebuah pusat perubatan yang serba lengkap dan moden.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.