Perkhidmatan Pusat Mediasi COVID-19 tamat Ahad ini

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Perkhidmatan Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) yang ditubuhkan pada 11 Nov 2020, secara rasminya akan ditamatkan pada Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sehubungan itu, pautan bagi permohonan mediasi di laman sesawang www.pmc.19.gov.my akan ditutup pada 11.59 malam, esok.

Beliau berkata PMC-19 berperanan membantu orang awam menyelesaikan pertikaian yang berbangkit daripada ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual yang timbul ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak COVID-19.

“PMC-19 berjaya membantu Keluarga Malaysia menyelesaikan pertikaian kontrak akibat pelaksanaan PKP dan penularan COVID-19 secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan di mahkamah. Penyelesaian pertikaian melalui pengantaraan ini terbukti berkesan kerana lebih pantas, menjimatkan kos dan menawarkan penyelesaian menang-menang kepada masyarakat,” katanya.

Sepanjang penubuhan PMC-19, sebanyak 290 kes dirujuk ke pusat itu dan daripada jumlah itu, 79 kes diselesaikan dengan nilai pertikaian terkumpul berjumlah RM3.8 juta.

PMC-19 ditubuhkan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 (Akta 829).

Menurut Wan Junaidi, pengantaraan (mediasi) yang dilaksanakan di bawah PMC-19 adalah secara sukarela dan nilai pertikaian yang boleh dirujuk adalah tidak melebihi RM500,000 kecuali pertikaian berhubung kontrak pembinaan.

Beliau berkata perkhidmatan pengantaraan percuma di bawah PMC-19 disokong mediator (pengantara) yang digerakkan oleh Majlis Peguam di Semenanjung Malaysia, Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) di Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) di Sarawak.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan PMC-19, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang telah berkhidmat sepanjang penubuhan PMC-19 serta pengantara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang menjayakan inisiatif itu.

“Kerajaan menghargai semua pihak yang telah membantu pelaksanaan PMC-19 dan Keluarga Malaysia yang terus menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu pihak terkesan akibat pelaksanaan PKP di sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1455
Kongsi :
Previous post MetMalaysia keluar amaran ribut petir di 10 negeri
Next post Polis Melaka laksana latih amal sempena PRU15, 25 hingga 27 Oktober ini
Ubah saiz-+=