Perlu tiga, empat tahun untuk lihat kejayaan penswastaan kelab bola sepak
AYER KEROH 10 Okt. – Sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun diperlukan untuk melihat kejayaan proses penswastaan kelab bola sepak di Malaysia, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Hamidin Mohd Amin.
Tegasnya, penyokong tidak boleh sewenang-wenangnya berharap segala masalah seperti tunggakan gaji dan isu-isu lain yang berbangkit dapat diselesaikan pada tahun pertama penswastaan, sebaliknya ia memerlukan sedikit masa untuk ditransformasikan ke arah yang lebih baik.
“Tahun depan, penswastaan ini baru di peringkat pertama bermakna jika dahulunya persatuan akan berubah kepada sendirian berhad atau pun kelab bola sepak. Proses ini akan berterusan selepas ini.
“Untuk kata tahun depan tiada masalah gaji tertunggak itu, pada saya mungkin belum lagi. Tetapi saya percaya kita akan mengurangkan segala masalah seperti itu melalui kerjasama ‘club licensing’ yang telah diputuskan FIFA dan AFC.
“Saya percaya, untuk tiga atau empat tahun akan datang insyaAllah segala masalah dan isu berbangkit seperti yang berlaku sebelum ini akan berjaya kita kurangkan atau hapuskan terus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima penganugerahan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira bersempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai penganugerahan tersebut, Hamidin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang berkenan mengurniakan pingat terbabit yang disifatkannya bakal menjadi batu loncatan untuk terus berusaha memaju serta meningkatkan mutu bola sepak negara di masa akan datang.