2,232 kes demam denggi direkodkan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Kes denggi di Melaka makin membimbangkan apabila merekodkan peningkatan peratusan di semua daerah setiap minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kes yang direkodkan setakat 8 Oktober lalu menunjukkan peningkatan mendadak dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Mengikut rekod, Daerah Jasin telah mencatat peratusan peningkatan kes tertinggi daripada ketiga daerah di negeri ini dengan peningkatan sebanyak 70.08 peratus dengan 415 kes denggi telah dicatatkan.

“Manakala, Daerah Alor Gajah mencatat 42.55 peratus dengan 335 kes diikuti Daerah Melaka Tengah sebanyak 20.1 peratus iaitu 1,482 wabak kes direkodkan.

“Perkara ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif mencatatkan sebanyak 2,232 kes demam denggi direkodkan di negeri ini,.

“Perkara yang berlaku ini perlu dipandang serius dengan melaksanakan langkah pencegahan termasuk pembersihan di seluruh kawasan rumah mahupun di sekitarnya.

“Biarpun kita berdepan dengan penularan pandemik COVID-19 semua masyarakat perlu juga bersama peka bagi mengatasi kes denggi yang juga dilihat semakin serius ini ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri bagi menerima penganugerahan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri Melaka 2020 sesi pertama sempena Sambutan Hari Jadi ke-71, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam diadakan di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Ali berkenan menganugerahkan Rahmad Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Hamidin tepis dakwaan Piala Malaysia dibatalkan
Next post Perlu tiga, empat tahun untuk lihat kejayaan penswastaan kelab bola sepak
Ubah saiz-+=