Sorting by

×

Hamidin tepis dakwaan Piala Malaysia dibatalkan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Hamidin Mohd Amin yakin saingan Piala Malaysia tahun ini akan diteruskan seperti yang dirancang.

Ia sekali gus menutup ‘cakap-cakap belakang’ yang mendakwa saingan tersebut buat pertama kalinya akan dibatalkan susulan berlakunya gelombang ketiga COVID-19 di negara ini.

Menurutnya, sesi undian pasukan untuk peringkat kumpulan dijangka akan diadakan pada 20 Oktober ini, sebelum saingan sebenar membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober.

“Setakat ini pertandingan Piala Malaysia diteruskan dan sesi undian akan kita umumkan insyaAllah pada 20 Oktober ini.

“Saya percaya kita ada masa sehingga bulan November untuk habiskan Piala Malaysia, jadi kita berharap saingan itu akan diteruskan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima penganugerahan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira bersempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Dewan Seri Negeri hari ini.

Mengulas mengenai status skuad kebangsaan sepanjang musim pandemik COVID-19, Hamidin berkata, pemain-pemain kini masih aktif bermain untuk pasukan masing-masing dalam saingan domestik, sekali gus tidak menjejaskan prestasi mereka untuk menghadapi kejohanan besar yang akan datang.

Bagaimanapun menurutnya, skuad Harimau Malaya bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga Mac tahun depan untuk kembali beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Kita difahamkan kejohanan itu akan diadakan pada Mac 2021. Namun andai kata COVID-19 masih berterusan pada tempoh itu, berkemungkinan kita akan bermain secara karnival pada bulan Mac dan Mei di negara-negara yang dibenarkan seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau mana-mana negara yang dibenarkan,” katanya lagi.

Views:

372
Kongsi :
Previous post Lima hala tuju pentadbiran Sulaiman
Next post 2,232 kes demam denggi direkodkan di Melaka
Ubah saiz-+=