Lima hala tuju pentadbiran Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali hari ini menggariskan lima perkara yang menjadi fokus hala tuju pentadbirannya ke arah mengangkat martabat Melaka menjadi negeri lestari yang maju jaya, kehidupan rakyatnya sentosa, seraya mampu menggamit dunia.

Katanya, lima perkara itu merangkumi prestasi ekonomi semasa, inisiatif pembangunan Negeri Melaka, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), pelancongan dan hala tuju masa depan dalam kerangka besar Melaka Rumahku.

Jelasnya, bagi perkara pertama iaitu meningkatkan prestasi ekonomi semasa pasca COVID-19, pihaknya bakal mengatur satu perjumpaan khas pra-bajet 2021 melibatkan pemegang taruh dan kelompok agensi kerajaan negeri dan pemain industri sebagai persedian sebelum pembentangan Bajet Negeri Melaka 2021 yang dijangka pada November depan.

Selain itu katanya, bagi inisiatif pembangunan negeri pula, Kerajaan Melaka komited menumpukan tujuh pembangunan terbaharu untuk kemajuan Melaka yang merangkumi M-WEZ, penubuhan daerah penuh di Masjid Tanah, menuju ke arah pendigitalan dan bandar pintar dan pembangunan industri berteknologi tinggi.

Pembangunan itu jelasnya,  turut merangkumkan sekali pembinaan Stesen High Speed Rail (HSR) Melaka, Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dan Infrastruktur Waste to Energy (WTE) di Sungai Udang.

“Mengenai perkara ketiga pula ialah membabitkan hala tuju M-WEZ yang akan kita bangunkan di kawasan tambak laut seluas 15,000 ekar sepanjang 22 kilometer, dari Umbai hingga ke Tanjung Bruas.

“Kita yakin kedudukan M-WEZ ini sangat sesuai, strategik dan menarik serta bakal menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan antarabangsa unggul, yang manfaatnya bakal melonjakkan ekonomi, bukan sahaja faedah lumayannya kepada rakyat di negeri ini, malahan impaknya dirasai di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia bersempena Sambutan Rasmi Hari Jadi ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam, pagi tadi.

Pada masa sama, Sulaiman turut menggariskan pemerkasaan sektor pelancongan negeri yang sebelum ini terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Katanya, bagi merancakkan kembali sektor berkenaan, fokus utama kini diberikan kepada promosi menggunakan platform digital iaitu Melaka eXcess dan kempen ‘Dream Now Travel Later’ dalam usaha menggalakkan kehadiran pelancong domestik.

Sementara itu, bagi perkara terakhir iaitu hala tuju masa depan dalam kerangka besar Melaka Rumahku pula, beliau berkata, melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan, ia kini mula menunjukkan hasil terutama apabila indikator yang diterapkan ke arah menuju negeri lestari mula dijadikan panduan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Hasilnya pelbagai kejayaan telah dicapai termasuklah pengiktirafan Bandaraya Melaka dan Jasin sebagai Bandar Paling Bahagia 2019 melalui laporan indeks Kebahagiaan oleh MURNInets Kebangsaan, PLANMalaysia.

“Lebih membanggakan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), bukan sahaja sudah mencapai status Bandar Bahagia, bahkan telah memperoleh status Bandar Paling Mampan di Malaysia.

“Terkini pula, kita mendapat khabar gembira apabila, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah menerima pengiktirafan antara lima PBT terbaik di Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal), pembangunan Bandaraya Melaka. Syabas dan tahniah untuk kesemua PBT atas pencapaian yang membanggakan Negeri Melaka,” katanya.

Justeru, beliau menaruh keyakinan tinggi sekiranya kesemua fokus hala tuju ini berjaya dicapai, tidak mustahil negeri Melaka akan muncul menjadi sebuah negeri yang hebat lagi terbilang suatu hari nanti.

Views:

432
Kongsi :
Previous post COVID-19: Berhati-hati dengan berita palsu
Next post Hamidin tepis dakwaan Piala Malaysia dibatalkan
Ubah saiz-+=