COVID-19: Berhati-hati dengan berita palsu

AYER KEROH 10 Okt. – Masyarakat diingatkan agar berhati-hati dengan kenyataan yang tular di media sosial rentetan pengaruh berita palsu dan penyebaran kata-kata kesat menerusi platform atas talian itu.

Ketua Polis negeri Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, perkara itu akan menimbulkan pelbagai kesan kepada masyarakat terutama ketika musim pasca penularan pandemik COVID-19 berlaku di negara ini.

“Pengaruh media sosial begitu meluas sehinggakan ada pihak sengaja menyebarkan perkara tidak benar hingga menjadikan perkara itu benar berlaku dan mendatangkan kesan dalam masyarakat.

“Masyarakat diingatkan agar berhati-hati dalam penggunaan media sosial kerana akan memberi kesan buruk sekiranya tidak digunakan secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri bagi menerima penganugerahan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2020 sesi pertama sempena Sambutan Hari Jadi ke-71, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam diadakan di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini hari ini.

Tambah Mat Kasim, pihaknya juga bersiap siapa menghadapi sebarang kebarangkalian terhadap penguatkuasaan keselamatan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun sebaliknya sekiranya berlaku.

Katanya, pihak polis seluruh negara bersedia menghadapi perkara itu dan yakin dengan kekuatan yang disediakan perkhidmatan agensi terbabit bagi mencegah penularan yang berlaku melalui pengalaman PKP seperti yang pernah dilaksanakan awal tahun lalu.

“Kita telah bersedia dengan fenomena yang berlaku dan polis memberi jaminan bahawa keselamatan di Melaka terkawal malah kita harap masyarakat sentiasa menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Keselamatan rakyat kita jamin setakat ini terkawal termasuk dari segi kadar jenayah yang berlaku di Melaka.

“Kita telah meletakkan pasukan polis yang memantau keadaan keselamatan di Melaka termasuk dengan kawalan trafik bagi memastikan orang ramai terutama pelancongan domestik selamat apabila tiba di Melaka,” katanya.

Terdahulu, Mat Kasim menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) disampaikan Mohd Ali pada majlis istiadat darjah kebesaran yang berlangsung pagi tadi.

Views:

109
Previous post Kontak rapat kes sporadik Tanjung Kling bebas COVID-19
Next post Lima hala tuju pentadbiran Sulaiman