Kontak rapat kes sporadik Tanjung Kling bebas COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 10 Okt. – Kesemua kontak rapat individu positif COVID-19 di mukim Tanjung Kling kelmarin, disahkan tidak dijangkiti dan bebas COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, walaupun tiada kes aktif membabitkan kontak rapat individu terbabit, pihaknya bersama Jabatan kesihatan Negeri Melaka akan meneruskan siasatan lanjut berikutan kes itu diklasifikasikan sebagai sporadik iaitu tidak diketahui di mana puncanya.

“Alhamdulillah semua keputusan telah keluar dan semuanya negatif buat masa ini. Apa pun, kita akan terus buat siasatan dan mengesan kontak-kontak yang berkaitan dengan individu terbabit.

“Ingin saya ingatkan kepada orang ramai supaya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) kendiri dan sentiasa berhati-hati apabila berada di tempat-tempat awam.

“Yang kita bimbangkan ialah bila berlakunya kes sporadik seperti tempoh hari yang kita tidak tahu dari mana puncanya. Mungkin ia datang dari pusat beli-belah, kedai makan, stesen bas dan sebagainya. Sebab itulah semua perlu menitikberatkan SOP walau di mana berada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Pengurniaan Darjah Seri Melaka (DSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya ahli keluarga kes positif COVID-19 di Tanjung Kling turut dijangkiti melalui satu mesej yang tular di media sosial, Rahmad menafikan sekeras-kerasnya.

“Itu semua tidak benar! Sebab itu saya menyeru kepada orang ramai agar jangan sebar berita yang tidak benar untuk menimbulkan panik di kalangan masyarakat.

“Orang kata jangan menambah perkara yang tidak baik. Kita sekarang berusaha untuk mengurangkan dan memutuskan rantaian COVID-19. Jadi, janganlah timbulkan berita yang tidak benar,” tegasnya.

Views:

438
Kongsi :
Previous post 190 individu terima anugerah kebesaran negeri hari ini
Next post COVID-19: Berhati-hati dengan berita palsu
Ubah saiz-+=