Sorting by

×

PERMUDAH BANTUAN KEBAJIKAN, PASTIKAN TIADA YANG TERCICIR DI REMBIA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

REMBIA 21 Ogos – Aspek kebajikan rakyat menjadi antara agenda utama yang diberi perhatian dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dalam memastikan tiada rakyat yang memerlukan terpinggir atau tercicir daripada menerima bantuan.

Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, antara kaedah pengurusan bantuan kebajikan yang dipraktikkan di Rembia adalah mewujudkan satu pangkalan data yang mengumpulkan maklumat daripada pemimpin masyarakat seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ahli Majlis dan badan bukan kerajaan (NGO).

Jelas beliau, maklumat itu menjadi asas utama sebaik sahaja menggalas amanah menyalaras DUN Rembia sehinggakan sebanyak lebih 900 keluarga yang memerlukan bantuan kebajikan di DUN berkenaan berjaya dikumpulkan dan dimajukan permohonannya kepada jabatan dan agensi terlibat.

“Ini adalah hasil pemutihan yang saya lakukan bersama pemimpin setempat untuk turun padang dan mencari rakyat yang memerlukan bantuan. Daripada 900 yang dikumpulkan, ada permohonan ditolak kerana tidak mengikut kriteria, namun kebanyakannya diluluskan bantuan.

“Malah, bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Rembia ini, kita terus mempergiatkan usaha mencari mereka yang memerlukan dan berjaya mengumpulkan 80 keluarga daripada lapan JPKK yang ada di DUN Rembia ini.

“Alhamdulillah daripada jumlah itu kita berjaya membantu lebih 60 peratus daripada keluarga ini untuk mendapatkan bantuan kebajikan am, bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena Program WRUR DUN Rembia.

Menurut Fairul Nizam, selain turun padang, pihaknya juga turut menerapkan kaedah pengurusan bantuan kebajikan secara lebih sistematik untuk masyarakat, di mana, mereka yang memerlukan tidak perlu ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya hanya datang ke Japerun Rembia untuk dibantu.

Ujar beliau, kaedah itu disifat lebih memudahkan rakyat kerana semua permohonan akan dikumpulkan dan selepas itu Pegawai JKM akan datang sendiri ke Japerun untuk menemu ramah pemohon dan menjalankan siasatan ke rumah sekiranya perlu.

“Setakat ini, kaedah yang dipraktikkan ini amat membantu dan lebih memudahkan urusan pemohon tanpa perlu menunggu lama berbanding berurusan sendiri di Pejabat JKM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

314
Kongsi :
Previous post MERDEKA LEBIH BERMAKNA DI DUN PANTAI KUNDOR
Next post PROJEK HIDROPONIK PEMANGKIN SOSIOEKONOMI PENDUDUK KAMPUNG PULAU