Perpustakaan Kanak-Kanak, penyuluh ilmu anak Orang Asli

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

ASAHAN 6 Mei – Pembukaan Perpustakaan Kanak-Kanak di Kampung Orang Asli Gapam Baru antara usaha dilaksanakan bagi meningkatkan lagi tahap pencapaian anak-anak masyarakat itu dalam bidang akademik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan itu mampu memastikan anak-anak masyarakat Orang Asli mendapat akses kepada sumber rujukan yang menepati piawaian pendidikan terkini.

Jelas Ketua Menteri, usaha itu juga bertepatan bagi memastikan generasi muda masyarakat Orang Asli tidak terus dipinggirkan atau keciciran daripada mendapat pendidikan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan bidang pendidikan buat masyarakat Orang Asli di Melaka terus diperkasakan menerusi kerjasama pelbagai pihak khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha murni dilaksanakan Yayasan Kebajikan BUDIMAS dengan kerjasama JAKOA Melaka dan Negeri Sembilan dalam menyediakan medium pendidikan terkini khususnya buat anak-anak masyarakat Orang Asli di kampung ini.

“Perpustakaan kedua yang diterima selepas Kampung Orang Ali Bukit Payung ini merupakan inisiatif yang ke-12 hasil sumbangan yayasan ini membabitkan perkampungan masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Perpustakaan Kanak-Kanak ini membawa makna yang besar buat 59 anak-anak daripada 245 penduduk kampung ini. Selepas ini kualiti pendidikan mereka dapat ditingkatkan lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Kanak-Kanak BUDIMAS Kampung Orang Asli Gapam Baru, di sini, hari ini.

Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil.

Yang turut hadir, Pengarah Jakoa Melaka dan Negeri Sembilan, Shahrani Idderis, Pengerusi Yayasan Kebajikan BUDIMAS, Yang Mulia Tunku Datuk Yaacob Khyra; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budimas, Anne Rajasaikaran serta tetamu lain.

Ab Rauf menasihatkan kepada seluruh anak-anak masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan supaya memanfaatkan setiap kemudahan yang disediakan agar mampu menyemarakkan pendidikan bermula daripada membaca.

“Manfaatkanlah perpustakaan ini kerana ia bukan sekadar bangunan, sebaliknya simbol akan segunung harapan buat kejayaan masa depan pewaris modal insan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post MCORP raikan rakan strategik, pelabur
Next post Melaka tuan rumah Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China
Ubah saiz-+=