PERTAM bakal bangunkan pangsapuri mampu milik untuk anak Melaka
BUKIT KATIL 22 MEI – Sebanyak 212 unit pangsapuri mampu milik akan dibangunkan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) yang lokasinya dikenal pasti di Bandaraya Melaka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, projek pembangunan itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Pangsapuri mampu milik ini akan dibangunkan di Bandar Melaka dengan harga setiap unit dibincangkan antara RM165,000 ke RM200,000. Itu nilai kita rancang.
“Kita jangka pembinaan mengambil masa tiga tahun dan mungkin apabila masuk tahun kedua akan mula dijual kepada khas untuk anak Melaka,” katanya.
Menurut beliau, selain pembinaan pangsapuri mampu milik itu, Ahli Lembaga Pengarah PERTAM juga bersetuju membangunkan tiga Tanah Adat Melaka (MCL) milik penduduk.
“Ada tiga lokasi tanah MCL milik penduduk yang kita lakukan usahasama untuk bangunkan tanah lot rumah banglo,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Ridhwan berkata, PERTAM juga bakal menceburi bidang baharu iaitu bidang perubatan dengan merancang untuk membuka dua pusat hemodialisis dalam jangka masa terdekat ini.
“Kita tidak mahu tertumpu kepada satu dan kini PERTAM mengorak langkah apabila merancang untuk membuka dua pusat hemodialisis iaitu masing-masing satu di Bukit Katil dan Jasin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.