Keputusan audit keselamatan treler nahas pelajar USAS diketahui minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA TERENGGANU, 22 Mei – Keputusan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap treler yang terlibat dalam kemalangan hingga menyebabkan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) maut di Lebuh raya Utara Selatan pada 12 Mei lepas akan diketahui minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim berkata ketika ini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berkaitan KJR (Keselamatan Jalan Raya) dan aspek keselamatan kenderaan perdagangan terhadap treler yang membawa muatan besi tersebut.

Beliau berkata JPJ juga sedang memeriksa sama ada treler tersebut ada melalui ujian di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan mematuhi semua peraturan serta spesifikasi ditetapkan.

“Hanya selepas semua pemeriksaan ini selesai dijalankan, barulah kita boleh buat keputusan sama ada treler ini mematuhi peraturan atau tidak… kita akan jelaskan dalam satu kenyataan nanti.

“Setiap kenderaan sama ada lori, treler atau bas mempunyai kompleksiti pemeriksaan berbeza apatah lagi treler itu sudah rosak, jadi bahagian yang kita mahu periksa ini seperti brek dan klac perlu dilihat dengan terperinci sama ada memenuhi spesifikasi kejuruteraan automobil JPJ yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri JPJ Terengganu di sini hari ini.

Dalam kemalangan berhampiran Terowong Menora dekat Kuala Kangsar itu, lima pelajar USAS meninggal dunia iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, selepas kereta dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh treler dari arah belakang.

Ditanya tentang tindakan JPJ berikutan kekerapan kemalangan disebabkan kenderaan berat sejak akhir-akhir ini, Zailani berkata JPJ sentiasa menggunakan pendekatan advokasi dan penguatkuasaan di lapangan.

“Orang ramai juga dialu-alukan untuk menghantar aduan kepada JPJ melalui aplikasi e-Aduan kerana sistem ini dapat membantu mengenal pasti pesalah dengan lebih pantas dan tepat iaitu kurang 48 jam dari tempoh aduan dibuat,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1028
Kongsi :
Previous post KKM tidak galak guna serbuk kunyit, daun semambu rawat HFMD
Next post PERTAM bakal bangunkan pangsapuri mampu milik untuk anak Melaka
Ubah saiz-+=