Peruntukan lebih RM1.4 juta, mantapkan KRT

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Lebih RM1.4 juta diterima Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka untuk pembangunan dan penganjuran program di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, meskipun sebelum ini pelbagai program sudah dianjurkan bagi KRT namun peruntukan yang diberi Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1, 452, 000 akan lebih memperkasakan lagi penubuhan itu.

“Jumlah peruntukan yang diperoleh itu akan disalurkan kepada seluruh KRT di Melaka iaitu sebanyak 242 dengan jumlah setiap satu kira-kira RM6,000.

“Bagi KRT sendiri pelbagai program sama ada skala kecil mahupun besar sudah dilaksanakan sebelum ini dan diharap dengan peruntukan diperoleh ia bukan sahaja memperkasakan lagi KRT tetapi meningkatkan peranan KRT.

“Tanpa kita sedar KRT juga turut terbabit dalam membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) selain mengadakan gotong-royong mencegah denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merasmikan Majlis Perasmian Penutup Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024, di Melaka Mall, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Pengarah JPNIN Melaka, Intan Suhana Yusuff.

Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, selain peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Melaka juga turut meluluskan peruntukan RM300,00 kepada JPNIN.

“Menerusi Kerajaan Negeri kita turut memberi RM300,000 yang diluluskan menerusi bajet tahun lepas dan ini adalah tahun kedua JPNIN Melaka menerima peruntukan bagi memperhebatkan lagi penganjuran program sepanjang tahun.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan pembangunan perpaduan di negeri ini berlangsung dengan jayanya kerana ia memainkan peranan penting bagi sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang bangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

246
Kongsi :
Previous post Tekong bot nelayan hilang ditemui lemas
Next post Pemborong diesel berdepan 116 pertuduhan tidak kemuka dokumen pembelian lebih RM10 juta
Ubah saiz-+=