Perzim perkenal tiga pakej ‘Bermalam Di Muzium’

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 30 Ogos – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan menganjurkan program Bermalam Di Muzium peringkat kebangsaan pada 16 September ini.

Pengurus Besar Perzim, Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata program terbabit akan melibatkan kira-kira 200 penyertaan daripada pelajar sekolah di seluruh negara.

Katanya, program terbabit akan melibatkan tiga pakej dengan harga yang ditawarkan berpatutan dan berbaloi.

“Program Bermalam Di Muzium ini kita memang angkat menjadi acara tahunan, namun pada Hari Malaysia, 16 September ini kita akan adakan untuk peringkat Kebangsaan.

“Program ini akan melibatkan Pakej Bermalam di Muzium Samudera dengan harga RM65, untuk pakej ini peserta akan dibawa menyusuri Sungai Melaka menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) untuk ambil mood untuk menyelami ilmu perkapalan, selain pelbagai lagi pengisian menarik untuk pakej ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri lawatan pemantauan ke Bukit Melaka, di sini, hari ini, yang diketuai Timbalan Exco Pelancongan, Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Zaidi Attan.

IKLAN BARU PERZIM

Mengulas lanjut, Drs. Mohd Nasruddin berkata, dua lagi pakej yang diperkenalkan ialah Bermalam di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dan Bermalam di Muzium Perkampungan Hang Tuah, Duyong.

Katanya, harga bagi pakej itu ditawarkan dengan harga lebih rendah iaitu RM30 bagi setiap muzium.

“Pengisian untuk pakej Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka menawarkan aktiviti membuat setanjak, tengkolok, mengenal senjata keris dan pelbagai lagi, manakala di Perkampungan Hang Tuah akan menawarkan program melibatkan kebudayaan dan permainan tradisional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3960
Kongsi :
Previous post Peluang baiki diri, elak kembali ke tirai besi
Next post 30,000 rakyat Melaka rai sambutan ambang merdeka
Ubah saiz-+=