PERZIM temui terowong zaman Kesultanan Melayu Melaka
BANDA HILIR 3 Ogos – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memberi bayangan bahawa pihaknya sudah menemui terowong lama yang dipercayai wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka di kawasan Banda Hilir.
Pengurus Besarnya Mohd Nasruddin Rahman berkata, tanda-tanda mengenai penemuan terowong itu telah dikuatkan melalui beberapa sumber antaranya sumber bertulis serta bukti-bukti arkeologi yang telah dijalankan.
Menurutnya, PERZIM akan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara, Jabatan Muzium Negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan kajian lanjut mengenai penemuan berkenaan dan seterusnya melakukan imbasan kewujudan terowong berkenaan sebelum melakukan proses penggalian.
“Sumber bertulis daripada Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang diiktiraf UNESCO memang ada menyebut mengenai kewujudan terowong berkenaan dan kita juga telah menjalankan kerja cari gali serta menemui beberapa tanda.
“Saya sendiri terlibat dalam proses cari gali tersebut dan menemui tangga yang menurun, seolah-olah ada laluan di bawah ini. Kesan-kesan dia memang ada. Kita percaya terowong itu telah ada sejak tahun 1400-1500 dan kemungkinan ia diteruskan atau diaktifkan semula sewaktu penjajahan Portugis dan Belanda.
“Bagaimanapun, untuk membuka kembali terowong ini, kita perlu ada satu sistem atau kaedah yang perlu disesuaikan dengan keadaan sekarang memandangkan kawasan Banda Hilir ini sudah mempunyai banyak bangunan. Jadi, kita perlu berhati-hati dalam aspek keselamatan,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Melaka Hari Ini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nasruddin berkata, melalui penemuan terowong berkenaan, ia diyakini dapat menjadi satu produk pelancongan baharu di Melaka yang dipanggil arkeotourism atau pelancongan kaji purba.
Jelasnya, jika perkara itu direalisasikan, Melaka bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai pelancongan berasaskan terowong lama.
“Daripada kajian, saya mengesan terowong itu sejauh 50 hingga 100 meter. Jika kita dapat buka sepanjang 50 meter sekali pun dan letakkan maklumat serta tambah pencahayaan di dalam terowong itu, saya pasti ia akan jadi satu produk pelancongan yang menarik untuk Melaka.
“Apapun, sebelum membuka kepada orang ramai, ada banyak perkara perlu diambil kira, terutamanya mengenai faktor keselamatan seperti gas di dalamnya dan sebagainya.
“Tapi kita jangka jika tiada apa-apa aral, projek ini mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi,” ujarnya.