Sorting by

×

Mula dari sekolah menengah juga mampu hafiz al-Quran

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat
Aniq Darwisy berkongsi kegembiraan dengan Rashidah Abdul Ghani dan Mohd Zaini Md Rashid selepas dipilih menerima anugerah Tokoh Ulul Albab SM Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. Foto Din Ahmad

LENDU 3 Ogos – Penerima anugerah Tokoh Ulul Albab Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah di sini, membuktikan untuk berjaya dalam bidang hafazan al-Quran, tidak semestinya dimulakan di pusat tahfiz al-Quran.

Sebaliknya, pelajar tingkatan satu, Aniq Darwisy Mohd Zaini mempamerkan, usaha untuk menghafaz al-Quran boleh dimulakan di peringkat sekolah menengah, asalkan ada azam dan usaha tanpa mengenal erti putus asa.

Bagi Aniq Darwisy, harapan ibu bapanya, Rashidah Abdul Ghani dan Mohd Zaini Md Rashid, kedua-duanya berusia 43 tahun yang ingin melihat dia mampu menghafaz al-Quran, tidak harus dipersia-siakan walaupun hanya memulakan usaha itu selepas melangkah ke sekolah menengah pada Januari lalu.

Sebaik sahaja melangkah ke Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah dekat sini Januari lalu, anak ketiga daripada empat beradik itu memulakan usaha menghafiz al-Quran dengan gigih hingga membolehkannya menghafaz tiga juzuk al-Quran setakat ini.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, bimbingan guru dan doa ibu serta ayah, saya dapat menghafaz tiga juzuk al-Quran setakat ini dan berazam menghafaz 30 juzuk menjelang tingkatan lima kelak,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah Tokoh Ulul Albab pada Program Khas Asasi Ulul Albab 2020 sekolah itu semalam.

Anugerah itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali. Turut hadir Pengasas Yayasan Akal Budi yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab membina sekolah berkenaan.

Selain Aniq Darwisy, tiga pelajar lain dipilih Tokoh al-Quran, Tokoh Bahasa Arab dan Tokoh Personaliti.

Aniq Darwisy berkata, beliau ingin menjadi doktor kerana ia adalah tugas mulia membantu sesama insan, selain dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya amat berminat memakai baju doktor dan sentiasa sibuk merawat pesakit bagi membantu mereka kembali sihat dan memanfaatkan kesihatan yang baik itu untuk beribadah kepada Allah,’ katanya.

Mohd Zaini yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah kilang di Batu Berendam berkata, beliau dan isteri memilih sekolah berkenaan untuk anak mereka dengan harapan dia mampu mencapai kecemerlangan dalam akademik, selain berjaya menghafaz al-Quran dan memiliki ilmu agama yang membolehkannya berjaya di dunia dan akhirat.

Rashidah berkata, walaupun menimba ilmu di sekolah kebangsaan semasa di peringkat sekolah rendah, Aniq Darwisy diyakini mampu berjaya dalam pembelajaran agama, al-Quran dan akademik di SM Imtiaz Ulul Albab.

Guru di sebuah sekolah menengah di Bandar Hilir itu berkata, kemampuan anaknya dalam bidang akademik, kokurikulum, al-Quran dan agama yang membolehkannya dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan diharapkan menjadi motivasi untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran seterusnya.

Untuk tujuan itu, beliau dan suami akan sentiasa mengiringi pembelajaran anak mereka dengan doa dengan harapan Aniq Darwisy mampu menjadi insan kamil yang berjaya dalam bidang akademik, al-Quran dan agama.

Views:

797
Kongsi :
Previous post PERZIM temui terowong zaman Kesultanan Melayu Melaka
Next post Tiga kompaun dikeluarkan tidak patuh SOP PKPP
Ubah saiz-+=