Tiga kompaun dikeluarkan tidak patuh SOP PKPP

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Tiga individu dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di lokasi berbeza berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk gagal memakai pelitup muka sejak pemakaian wajib diumumkan kerajaan 1 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Melaka Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil pemeriksaan terhadap sebuah kedai runcit di Jalan Bendahari pada jam 4.45 petang Sabtu lalu mendapati pemilik premis berusia 37 tahun gagal memakai pelitup muka.

Katanya, susulan itu wanita berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No 7) 2020.

“Individu kedua yang dikenakan kompaun adalah juga pemilik premis di Taman Kota Laksamana Seksyen 1 yang didapati menjalankan perniagaan melebihi masa ditetapkan pada jam 12.20 tengah malam semalam.

“Seorang lagi wanita yang juga pemilik premis kedai runcit di Taman Malim Jaya turut dikenakan kompaun pada jam 6 petang semalam selepas hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit tidak menyediakan pemeriksa suhu di premis miliknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Eng Lai berkata, ketiga-tiga individu terbabit dikehendaki membayar kompaun di pejabat kesihatan daerah dan jika gagal berbuat demikian, ketiga-tiganya dikenakan tindakan mahkamah.

Views:

243
Kongsi :
Previous post Mula dari sekolah menengah juga mampu hafiz al-Quran
Next post Melaka tawar hadiah lumayan reka ‘tagline’ negeri
Ubah saiz-+=