Perzim tubuh jawatankuasa khas bantu pelajar ‘cintai’ subjek Sejarah

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 17 Ogos – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan mewujudkan satu jawatankuasa untuk mengkaji kaedah pembelajaran terbaik bagi memastikan tiada pelajar gagal dalam subjek Sejarah di sekolah-sekolah negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Zaidi Attan berkata, jawatankuasa tersebut akan ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Katanya, jawatankuasa tersebut akan mengkaji kaedah efektif pembelajaran subjek Sejarah dalam kalangan pelajar sekolah yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jawatankuasa ini akan mengkaji cara-cara pmbelajaran yang berkesan bagi memastikan keciciran pelajar dalam subjek Sejarah dapat dikurangkan khususnya di Negeri Melaka.

“Kita mahu mencapai sehingga sifar pelajar yang gagal dalam peperiksaan SPM pada tahun mendatang.

“Cadangan penubuhan jawatankuasa ini telah diangkat ke peringkat atasan dan ia akan ditubuhkan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pelancongan Pelajar Kembara ProBEST@AG di Dewan Perzim di Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

photo1692268560
ZAIDI dan kenamaan bergambar bersama peserta yang terdiri daripada murid sekolah pada Majlis Perasmian Penutup Program Pelancongan Pelajar Kembara ProBest@AG di Dewan Perzim, Muzium Rakyat, Banda Hilir. Foto: MR. AZLI

Hadir sama, Pengurus Besar Perzim, Drs. Mohd Nasruddin Rahman dan Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid JPN Melaka, Jamsari Mariman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, muzium-muzium di Melaka akan menjadi sebahagian daripada lokasi interaktif pembelajaran baharu buat pelajar-pelajar sekolah di seluruh negara.

“Kita akan fokus untuk menyediakan prasarana dan artifak-artifak serta dokumen pembelajaran buat murid-murid sekolah seluruh negara amnya dan Negeri Melaka khususnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1799
Kongsi :
Previous post Pesawat terhempas: Polis sahkan orang kenamaan antara 10 individu maut
Next post SWiPEL halau serangga, selamat untuk keluarga
Ubah saiz-+=