
PESAWAH MELAKA DAPAT BENIH PADI BERKUALITI HARGA MURAH
SERI NEGERI 29 April – Inisiatif Kerajaan Negeri membangunkan ladang benih padi di Sawah Tengah Padang, Merlimau terbukti berjaya membawa kegembiraan dan kelegaan kepada pesawah.
Jika sebelum ini, pesawah di negeri ini terpaksa membeli benih padi pada harga lebih mahal, selain benih yang diterima tidak berkualiti, namun dengan inisiatif terbaharu itu, dilema yang membelenggu pesawah kini terlerai.
Menyampaikan khabar gembira itu, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, menerusi peruntukan yang diberi Kerajaan Negeri pada Bajet 2024 yang lalu, ladang benih padi sah itu telah dibangunkan di kawasan seluas 19 hektar dan untuk tuaian pertama ia berjaya menghasilkan 56.2 tan padi benih selepas pemprosesan.
Jelas beliau, daripada hasil tersebut, Kerajaan Negeri akan menjualnya pada harga RM56 bagi setiap beg 20 kilogram (kg), di mana harga itu termasuk dengan kos penghantaran kepada pesawah.
“Sebelumn ini pesawah terpaksa membayar RM65 hingga RM70 bagi setiap beg, tapi dengan usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri, benih padi tersebut boleh dibeli pada harga jauh lebih murah dan benih yang diterima juga lebih berkualiti.
“Ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah yang membelenggu pesawah selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Beras Melaka yang disempurnakan Ketua M<enteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Bilik Tun Mutahir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah FAMA Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, usaha mewujudkan ladang benih padi sah dan pengenalan Beras Melaka juga merupakan antara lanmgkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi membanteras ‘kartel’ beras.
“Apabila semuanya dikawal kerajaan dan agensi kerajaan, kita dapat menghalang kartel-kartel ini daripada menipu rakyat memandangkan semua proses dipantau dari awal hingga akhir.
“Ini adalah satu manifestasi Kerajaan Negeri bahawa, dengan bekerja bersungguh-sungguh, kartel-kartel ini akan dapat kita halang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.