Sorting by

×

PESERTA LUAR NEGARA ANTARA 451 BERENTAP DALAM KEJOHANAN BADMINTON PIALA YDP MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 23 Ogos – Seramai 451 peserta termasuk dari luar negara menyertai YDP MPHTJ Open Championship 2025 In Conjunction With World Tourism Day (WTD) 2025 di Jebat Racquet Bukit Beruang, di sini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, kejohanan selama dua hari itu merupakan julung kali dianjurkan sempena WTD 2025 yang akan diadakan di Melaka pada 27 hingga 29 September depan.

“Penyertaan kali ini sangat menggalakkan dengan kehadiran pemain dari seluruh negara, malah ada juga dari Singapura, Thailand dan Filipina.

“Lebih membanggakan, bekas pemain badminton lelaki perseorangan nombor satu dunia Datuk Roslin Hashim turut mengambil bahagian,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan kejohanan tersebut.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, Zailani Siran dan Pengurus Jebat Racquet Bukit Beruang, Mohd Dzahir Ismail.

Menurut Sapiah, meskipun kejohanan itu tidak menawarkan tiket kelayakan ke peringkat lebih tinggi, semangat kesukanan menjadi faktor utama menarik minat ramai pemain.

“Hadiah tidaklah sebesar mana tetapi penyertaan luar jangka ini menunjukkan sambutan yang amat baik. Kita tidak menyangka pemain antarabangsa juga turut bersama.

“Insya-Allah, kejohanan ini akan dianjurkan lagi pada tahun depan sebagai antara kalender acara sukan MPHTJ,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post KITARECYCLE: INISIATIF LESTARIKAN BUMI
Next post KOLAM PINTAR: IKAN DITERNAK BERKUALITI, TIADA RASA TANAH