Sorting by

×

PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA BERI TEMPIAS KEPADA PENIAGA KECIL

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

Tanjung Bidara 14 September – Meskipun kepenatan, peniaga kecil terlibat menjayakan penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 tersenyum lebar apabila hasil jualan Bertam bah berikutan peningkatan mendadak jumlah pengunjung ke lokasi peranginan itu.

Peniaga jus buah dan keropok lekor Shamdan Lajis, 39, berkata, sejak Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 membuka tirai pada Jumaat dia tidak menang tangan melayan ribuan pengunjung yang hadir.

“Alhamdulillah selain meriah dengan pelbagai aktiviti menghidupkan industri pelancongan Melaka kami peniaga kecil juga mendapat tempias, memang penat tetapi seronok.

“Saya amat menanti-nantikan program seperti ini yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri, jika ada kemahuan untuk turut serta sudah pasti akan memperoleh hasil yang berbaloi pada akhirnya,” katanya ketika ditemui di Tapak Pesta Tanjung Bidara 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Img 20250914 161548 281
EDI memuji inisiatif Kerajaan Negeri memperkasa sektor pelancongan kerana turut memberikan tempias kepada peniaga kecil.

Sementara itu peniaga air kelapa dan kebab, Edi Adnan Salimon, 41, dari Klebang meluahkan perasaan syukur kerana jualannya laris sejak hari pertama Pesta Pantai Tanjung Bidara.

“Untuk tiga hari pesta ini saya bawa 100 biji buah kelapa, sekarang ini belum masuk tengah hari cuma berbaki lima biji sahaja lagi, alhamdulillah ada rezeki untuk kami. Pengunjung memang ramai, jadi ini adalah masa untuk kami peniaga kecil menambah pendapatan berbanding jualan hari biasa.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pelbagai inisiatif memperkasakan pelancongan yang dilaksanakan, semua pihak termasuk kami penjaja kecil juga mendapat manfaat,” katanya kepada Melaka Hari Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post TERPESONA KEINDAHAN TANJUNG BIDARA
Next post PROMOSI TVET DI PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA