Petronas perkukuh pendidikan STEM dalam kalangan pelajar

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 30 November – Pelbagai pendekatan diambil Petronas bagi memastikan pelajar mengukuhkan minat dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat berkata, pihaknya menerusi kerjasama anak syarikatnya Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) menjalankan program kerjasama selama tiga tahun bagi mendokong motivasi pelajar agar mampu melahirkan individu berkemahiran tinggi menjelang 2025.

Jelasnya, menerusi program diadakan bermula tahun ini seramai 220 pelajar daripada 11 buah sekolah di Melaka terlibat dengan program itu sebagai salah satu platform untuk memberikan motivasi dan sokongan dalam meningkatkan keyakinan pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Petronas sering menganjurkan program berfokuskan pendidikan di Melaka seperti Didik UPSR Berita Harian, SPM Motivational Camp dan juga yang terkini, Melaka Future Talent untuk menyokong dan membimbing pembangunan serta pembentukan anak-anak yang bakal menjadi generasi pemimpin negara pada masa akan datang.

“Menerusi program seperti MFT para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai kerjaya di dalam bidang STEM serta menerima penerangan mengenai peluang penajaan pendidikan PETRONAS dan kursus yang ditawarkan oleh Universiti Teknologi PETRONAS.

“Kami berharap, semoga segala usaha dan bakti melalui program seperti ini dapat sedikit sebanyak memberi cetusan motivasi, ilham serta perkongsian pengetahuan yang bermakna kepada anak-anak
sekalian, khususnya dalam bidang STEM,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2443
Kongsi :
Previous post Tukang cuci warga emas temui ajal akibat sakit jantung
Next post TNB ucap takziah kepada keluarga kanak-kanak maut dipercayai dihempap tiang elektrik
Ubah saiz-+=