TNB ucap takziah kepada keluarga kanak-kanak maut dipercayai dihempap tiang elektrik

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

ALOR SETAR, 30 Nov – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar, Changlun di Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu petang semalam.

TNB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya turut bersimpati terhadap keluarga dua kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Jitra selepas terlibat dalam kejadian sama.

“TNB turut menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan memberikan bantuan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi rakannya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar itu dan kesemua mangsa berumur antara 10 dan 11 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.33 petang.

Lokasi kejadian itu merupakan kawasan simpanan sementara tiang elektrik bagi tujuan projek di Jalan K16, Kampung Belukar.

Menurut kenyataan itu, TNB sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa terlibat.

“Justeru, TNB mengulangi peringatan kepada orang ramai agar tidak menghampiri tapak kerja dan menyentuh barang-barang binaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” menurut kenyataan itu.

TNB juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian itu dan membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan selain menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa terbabit.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6091
Kongsi :
Previous post Petronas perkukuh pendidikan STEM dalam kalangan pelajar
Next post Polis Melaka berkas 7 ‘bookie’ Piala Dunia
Ubah saiz-+=