Piala Malaysia: Melaka United aibkan naib juara Liga Super

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Piala Malaysia 2021 apabila berjaya menundukkan Kedah Darul Aman FC 3-1, malam tadi.

Aksi kedua kumpulan C di Stadium Darul Aman itu bagaimanapun menyaksikan Melaka United selaku pasukan pelawat terlebih dahulu ketinggalan seawal minit ke-7 menerusi jaringan Kpah Sherman.

Tersentak dengan gol awal itu, Melaka United kembali memperkemaskan permainan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi Sony Norde.

Gol itu terhasil daripada gerakan serangan balas yang dimanfaatkan pemain kelahiran Haiti itu sejurus menerima bola tolakan Adriano Narcizo.

Pada minit ke-38, Melaka United berjaya mendahului tuan rumah menerusi gol kedua yang dijaringkan Manuel Ott.

Pemain kebangsaan Filipina itu tidak mensia-siakan bola hantaran Adriano di dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan leret ke penjuru kiri pintu gol yang dikawal Ifwat Akmal.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan berpihak Melaka United dengan dua gol berbalas satu.

Bersambung di babak kedua, Melaka United tidak menunggu lama untuk mengukuhkan cengkaman menerusi gol ketiga.

Ott sekali lagi muncul wira apabila rembatan deras dari luar kotak penaltinya berjaya menerjah jaring pada minit ke-52.

Ketinggalan dengan jurang defisit dua gol membuatkan Kedah yang juga naib juara Liga Super cuba untuk melakukan asakan bertali arus untuk merobek gawang pelawat.

Namun, corak permainan tersusun dan keampuhan benteng pertahanan Melaka United menggagalkan usaha itu sekali gus memastikan keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Kemenangan kedua berturut-turut itu meletakkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kini selesa selaku pendahulu kumpulan C dengan mengutip enam mata.

Selepas ini, Melaka United dijadual berdepan Kelantan United FC di Stadium Hang Jebat pada 29 Oktober depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1946
Kongsi :
Previous post ‘Saya alukan pandangan, maklum balas rakyat’ – KM
Next post Lebih lima dekat SPRM terus unggul banteras rasuah-Azam
Ubah saiz-+=