Piala Tun Ali 2022: Empat tonggak kebangsaan perkuat Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Ogos – Empat pemain kebangsaan bakal memperkuatkan skuad Melaka pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 yang bermula esok.

Empat pemain itu ialah Mohamad Azlan Alias, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohd Muqlis Borhan dan Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar.

Selain itu, Melaka turut diperkuat dua apit kanan dari Thailand Loesak Kuram dan Theeranan Seesawang, selain dua lagi pemain tempatan Muhammad Faizulhairy Osman da Sahidan Md Ali.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pemilihan pemain terbaik adalah demi memastikan pencapaian terbaik berjaya diraih Melaka pada kejohanan itu.

“Insya-Allah jika diizinkan Allah SWT, inilah antara pemain-pemain yang akan terus mewakili Melaka dalam apa jua kejohanan mendatang.

“Kita tidak mahu meletak sasaran tinggi dan menekan mereka, tapi kita mahu pemain-pemain ini melakukan yang terbaik dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan menjelmakan sesuatu untuk Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memperkenalkan pemain Melaka pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

LAPAN pemain yang akan memperkuatkan Melaka.

Dalam pada itu, Akramuddin turut meminta rakyat Melaka turun beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan bertanding sepanjang kejohanan yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit.

“Saya seru kepada peminat sepak takraw hadirlah menyaksikan kehebatan pemain sepak takraw terhebat di negara ini dalam kejohanan Piala Tun Ali 2022.

“Masuk adalah percuma sahaja kepada semua yang ingin menonton perlawanan secara langsung,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Syahir yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan melaungkan ikrar untuk membantu Melaka menjuarai acara regu pada kejohanan edisi sulung ini.

Tekong kebangsaan itu berkata, walaupun baru pertama kali menyertai pasukan Melaka, namun dia tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama pasukan.

“Insya-Allah dengan keserasian yang ada di antara saya bersama pemain kebangsaan yang lain dan juga pemain tempatan serta import ini, kami akan cuba untuk membantu Melaka muncul juara,” katanya.

AKRAMUDDIN (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Mohd Azlan Alias yang akan beraksi dalam acara beregu bersama Melaka.

Nada sama turut dizahirkan apit kanan kebangsaan, Mohd Azlan yang mahu menghadiahkan sesuatu kepada Melaka apabila dijadual beraksi dalam acara beregu.

“Walaupun sudah lama tidak bermain acara double, namun saya yakin gandingan saya bersama Loesak dan Faizulhairy mampu menjelmakan kejayaan,” ujarnya.

Untuk rekod, Piala Tun Ali yang julung kali diadakan itu akan disertai 17 pasukan termasuk satu pasukan dari Singapura.

Kejohanan yang mempertandingkan dua kategori iaitu regu dan beregu (double) itu menawarkah hadiah kemenangan RM10,000 bagi acara regu dan RM8,000 bagi acara beregu selain bakal membawa pulang Piala Tun Ali yang berprestij.

 

INFO PEMAIN MELAKA: 

 

Acara Regu: 

– Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong)

– Mohd Muqlis Borhan (apit kiri)

– Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar (apit kanan)

– Theeranan Seesawang (apit kanan)

 

Acara Beregu (double):

– Mohamad Azlan Alias

– Loesak Kuram

– Muhammad Faizulhairy Osman

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3757
Kongsi :
Previous post 50 sukarelawan Yadim bantu mangsa ribut
Next post ‘Merdeka bukan sekadar lafaz di bibir’
Ubah saiz-+=