Sorting by

×

50 sukarelawan Yadim bantu mangsa ribut

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Ogos – Penderitaan 58 mangsa ribut di sini Rabu lalu, diringankan oleh 50 sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang bermandi keringat membantu mereka hari ini.

Sukarelawan terbabit dipimpin Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Am Yadim, Iskandar Masnan dan wakil Sekretariat Keluarga Malaysia Yadim, Muqri Zafran Matkhusniza membantu membersihkan enam kediaman mangsa di Kampung Pasir Gembor, di sini.

Selain mencuci lantai kediaman yang kotor akibat ribut berkenaan, sukarelawan terbabit turut mengumpulkan pelbagai barangan tidak diperlukan.

Iskandar berkata, sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan amal jariah itu bagi meringankan beban mangsa ribut yang mengalami kerugian akibat kemusnahan bumbung.

“Kami bersimpati dengan nasib malang menimpa mangsa ribut dan turun beramai-ramai untuk membantu mencuci lantai dan membuang barangan tidak diperlukan,” katanya di kediaman Amirudin Md Taha, 31.

Sementara itu, Muqri berkata, selain menyumbangkan tenaga, Yadim turut menghulurkan bantuan RM600 kepada 10 buah rumah yang mengalami kerosakan bumbung yang teruk.

“Yadim juga memberikan pek makanan bernilai RM2,600 untuk semua mangsa terbabit dan meminta mereka bersabar serta reda dengan ujian Allah,” katanya.

Saiful Nizam (kanan) menerima sumbangan pek makanan daripada Iskandar di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara dekat Masjid Tanah.

Mangsa ribut, Saiful Nizam Maheran, 42, mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan Yadim yang sudi membersihkan kediamannya dan mengumpulkan barangan rumahnya yang rosak.

“Dalam kejadian ribut itu saya bersyukur kerana tiada kecederaan menimpa saya dan anak saudara berusia 21 tahun.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan tidak sampai seminit, bumbung zink dapur yang sudah uzur diterbangkan angin.

“Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat kerana prihatin dengan kesusahan yang sedang kami alami,” katanya.

Pada kejadian ribut 10 Ogos lalu, 58 kediaman penduduk Kampung Pasir Gembor, Kampung Ayer Hitam Pantai, Kampung Ayer Hitam Darat dan Kampung Balik Batu rosak teruk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9050
Kongsi :
Previous post ‘Atuk’ berbasikal 2,500km bawa mesej merdeka
Next post Piala Tun Ali 2022: Empat tonggak kebangsaan perkuat Melaka
Ubah saiz-+=