Pihak berkuasa keselamatan bantu pantau SOP pasar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

MERLIMAU 16 April – Kerajaan negeri meminta pihak berkuasa keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan anggota di setiap lokasi pasar Ramadan di negeri ini bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kalangan pengunjung dan peniaga.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, beliau sudah pun memaklumkan pihak PDRM supaya memberikan kerjasama bagi memantau SOP di setiap pasar Ramadan.

SULAIMAN merasmikan Pasar Ramadhan Daerah Jasin, di Pasar Tani Pekan Merlimau.

“Saya dah maklumkan sendiri pada pihak keselamatan terutama PDRM, kita ada 70 lokasi pasar Ramadan di seluruh negeri ini.

“Saya minta tolong bagi kerjasama letakkan pihak keselamatan paling tidak dua orang.

“Maknanya kalau dua orang, baru 140 orang sahaja yang bertugas, kalau tak bersih juga, tak berjalan, kita minta tentera tapi kalau mereka patuh alhamdulillah,” katanya kepada media selepas merasmikan Pasar Ramadan Daerah Jasin di Pekan Merlimau, petang tadi.

SULAIMAN mempamerkan bakat menggoreng rencah undang.

Sulaiman berkata, setakat ini kesemua peniaga pasar Ramadan mematuhi SOP ditetapkan dengan penjarakan antara gerai.

“Saya melihat dari segi SOP penjarakan antara gerai dengan gerai dipatuhi dan peniaga juga sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Penganjur alhamdulillah ada periksa suhu, ambil nama, ada imbasan kod QR. (Boleh kata) perkara yang diminta terhadap penganjur semua dah disediakan,” katanya.

Katanya, pihaknya bimbang sekiranya orang ramai tidak mematuhi SOP tidak mustahil wujudnya kluster pasar Ramadan.

“Saya bimbang kalau berlaku peningkatan mereka yang positif COVID-19, jangan ada esok orang panggil kluster pasar Ramadan.

“Apa pun yang ada di Melaka semua boleh berjalan, tapi patuhilah SOP, kalau kita patuh pada SOP saya yakin segala aktiviti ekonomi dari segi pelancongan juga akan berjalan seperti biasa,” katanya lagi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dan ADUN Rim Datuk Wira Ghazale Muhammad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post Meninggal ketika mencari siput
Next post 136,655 pesara, petugas polis layak terima bantuan ‘one-off’ RM500
Ubah saiz-+=