Pilih EXCO berdasarkan kepakaran – KM

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

MASJID TANAH 21 Nov – Pemilihan EXCO kerajaan negeri akan bergantung kepada kombinasi kepakaran seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata pemilihan EXCO akan dilihat dari segi latar belakang pendidikan dan kepakaran selaras kedudukan setiap portfolio.

“Kita ada kombinasi, kita akan lihat latar belakang kepakaran pendidikan, ini selaras dengan kedudukan portfolio mereka.

“Sekali gus (mereka) akan jalankan tugas dan tanggungjawab memastikan manifesto (kerajaan) dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Villa D’Acqua, di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman turut menjelaskan tindakan beliau mengangkat sumpah secara mengejut tengah malam tadi.

Jelasnya, ia berikutan jadualnya yang padat selain keputusan itu dibuat untuk membolehkannya mula bertugas dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

“Sebab esok saya ada konsular mesyuarat dan Mesyuarat Majlis Raja Raja (pada) Isnin. Kemudian saya ada Mesyuarat di Istana Melaka, kemudian Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Selasa.

“Rabu saya ada mesyuarat Majlis Raja Raja berikutnya pembentangan Belanjawan Negeri Melaka 2022, jadi tidak ada salahnya apa yang dilakukan malam tadi supaya saya boleh jalankan tugas lebih awal lagi,” jelasnya.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

675
Kongsi :
Previous post Kemenangan BN di Melaka jadi rujukan PRU15
Next post Sulaiman mula tugas Ketua Menteri bagi penggal baharu
Ubah saiz-+=