Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Melaka elak akidah terpesong

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 3 Mac- Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan 2021) dianggap penting bagi mengelakkan umat Islam negeri ini daripada terbabit dalam aktiviti boleh memesongkan dan menyeleweng daripada akidah seperti ajaran sesat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata pindaan tersebut adalah berkaitan tafsiran hukum syarak bagi menjelaskan maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Katanya, ia diperuntukkan dalam Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan 2021) yang merupakan perkara paling utama dan memberi faedah kepada umat Islam di negeri ini.

Menurutnya, mengikut aspek syariah umat Islam hendaklah berpegang kepada Mazhab As-Syafie, namun dalam keadaan tertentu boleh mengikut mana-mana mazhab sama ada mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali.

Jelasnya, daripada sudut akidah pula umat Islam di negeri ini hendaklah berpegang kepada mazhab Al Asyairah atau mazhab Al Maturidiah.

“Pindaan ini juga untuk mencegah umat Islam di Melaka daripada terbabit dengan ajaran sesat dan menyeleweng seperti syiah, liberalisme, pluralisme serta seumpamanya.

“Antara faedah pindaan dilakukan ia mampu mengelakkan perpecahan dan perselisihan faham. Dengan tafsiran yang jelas untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam memahami akidah dalam kalangan orang awam beragama Islam,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata pindaan enakmen itu juga telah menaikkan kadar hukuman bagi kegiatan pungutan wang khairat tanpa kebenaran atau menyalahi syarat ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Menerusi pindaan tersebut, hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun boleh dikenakan jika didapati bersalah.

“Tujuan hukuman ini dinaikkan adalah untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka yang melakukan kesalahan. Diharapkan kenaikkan denda ini boleh mencegah kegiatan pungutan tabung khairat secara tidak sah yang berleluasa dalam negeri ini,” katanya.

Beliau mengingatkan umat Islam di Melaka juga hendaklah berpegang kepada Manhaj Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam enakmen terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2503
Kongsi :
Previous post Akta baharu larang aktiviti merokok masih di peringkat libat urus
Next post Tujuh individu ditahan pecah tabung masjid
Ubah saiz-+=