PKP 3.0: SOP diseragamkan di seluruh negara, elak rakyat keliru

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA 11 Mei. – Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara hari ini bersetuju agar prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) diseragamkan di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kebanyakan rakyat keliru apabila kerajaan mengumumkan SOP yang berbeza mengikut kawasan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

Berikutan itu, keputusan mesyuarat bersetuju untuk SOP sama digunapakai melibatkan seluruh kementerian dalam negara.

“Ada pelbagai perkara telah kita persetujui termasuk aktiviti yang dibenarkan serta tidak dibenarkan.

“SOP lengkap dan maklumat lanjut mengenai SOP yang lebih lengkap dan berkaitan akan dikeluarkan pihak kementerian di laman web masing-masing.

“Bagi SOP secara asas, ia boleh dilihat dalam laman web MKN, namun ia tidak diterangkan satu persatu seperti di peringkat Kementerian.

“Selain itu, kita juga mengaktifkan talian ‘hotline’ untuk mendapatkan penjelasan secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas julung kalinya diadakan secara bersama dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan tidak serius menangani  pandemik COVID-19 dalam negara membabitkan aspek pelaksanaan SOP.

Sebaliknya, beliau berkata, setiap SOP yang diperkenalkan kerajaan dibuat secara terperinci melalui pelbagai peringkat dan akan dinilai pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diumumkan kepada rakyat.

Katanya, keseriusan kerajaan juga jelas apabila mesyuarat bagi membincangkan SOP dan perkembangan PKP ditingkatkan tiga kali seminggu berbanding satu dan dua kali sebelum ini.

“…kita juga ambil kira semua pandangan ahli mesyarat yang beri pandangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post Harga daging kekal RM34 legakan pengguna
Next post PKP 2.0 tidak gagal – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=