Harga daging kekal RM34 legakan pengguna

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Mei. – Tiada kenaikan harga daging segar dikesan berlaku di Masjid Tanah sekali gus melegakan pengguna apabila harganya kekal RM34 sekilogram (kg) hari ini walaupun ada ura-ura ia akan naik menjelang Aidilfitri.

Tinjauan di beberapa lokasi jualan daging segar di tepi jalan utama, di sini hari ini mendapati pengguna berhati-hati untuk berbelanja membeli daging berbanding barangan lain.

Sulaiman Ahmad, 57, berkata beliau agak bimbang ketika ingin mendapatkan lima kg daging daripada peniaga, Mohd Fazar Abdul Samad, 41, yang berniaga di tepi Jalan Masjid Tanah-Tanjung Bidara di Kampung Londang, di sini.

MOHD Fazar melapah daging di gerainya di tepi Jalan Masjid Tanah-Tanjung Bidara di Kampung Londang, Masjid Tanah.

“Saya lega apabila harga daging kekal RM34 sekilogram kerana sebelum ini ada ura-ura harga daging akan naik,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.

Mohd Fazar berkata, beliau menyembelih seekor lembu awal pagi ini bagi merebut peluang pasaran ketika kebanyakan umat Islam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

“Saya tidak menaikkan harga kerana berpegang kepada persepakatan dalam kalangan penternak dan peniaga daging untuk tidak menaikkan harga walaupun kami tertekan dengan kenaikan kos penternakan lembu dan kerbau sejak beberapa tahun lalu.

“Dengan mengekalkan harga RM34 sekilogram untuk lembu dan kerbau, kami menjangka pelanggan mampu berbelanja untuk mendapatkan daging segar berbanding jika harga dinaikkan,” katanya.

ROSLAN memutuskan tulang tengkuk lembu yang dipesan pelanggan di Pasar Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

Peniaga daging di Pasar Masjid Tanah, Roslan Mohamad, 51, berkata berdasarkan senarai Barang Harga Terkawal Skim Harga Maksimum Bagi Musim Perayaan Aidifitri 2021 yang dikeluarkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, harga borong daging lembu tempatan ditetapkan pada RM32 sekilogram manakala harga runcit ialah RM34.

“Tidak mungkin kami boleh sesuka hati menaikkan harga dan kalau kami menaikkannya sekali pun, sudah tentu penternak yang menjual daging repang (karkas) akan menaikkan harga daging yang dijual kepada kami,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna hadir sendiri di gerai menjual daging untuk memastikan perkara itu berbanding membaca berita tidak tepat melalui media sosial kononnya harga daging meningkat kepada RM38 sekilogram menjelang Aidilfitri.

KPDNHEP sebelum ini menetapkan harga daging tempatan pada kadar RM34 mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid, dilaporkan berkata, penetapan harga itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan khususnya penggerak industri dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post 90 TASKA, TADIKA dan TABIKA di Melaka beroperasi seperti biasa
Next post PKP 3.0: SOP diseragamkan di seluruh negara, elak rakyat keliru
Ubah saiz-+=