PKP ‘lubuk rezeki’ buat kedai komputer

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 22 Jan. – Sebuah kedai peralatan komputer di Taman Tasik Utama, di sini, tiba-tiba menjadi tumpuan orang ramai, sejak akhir-akhir ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati orang ramai sanggup beratur sejak kedai tersebut dibuka dari awal pagi, kebanyakannya ingin membeli dan membaiki komputer riba terpakai.

Difahamkan situasi itu terjadi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di beberapa negeri termasuk Melaka yang mana murid serta pelajar kini perlu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) selain kebanyakan pekerja bekerja dari rumah.

Situasi itu dianggap ‘lubuk rezeki’ buat pemilik kedai memandangkan permintaan tinggi pelanggan yang kini terpaksa menjalani kehidupan norma baharu dengan bekerja dan belajar dalam talian.

[smartslider3 slider=6]

Seorang pekerja kedai terbabit, Abdul Hanif Abdul Rani, 26, mengakui pelanggan tidak putus-putus datang ke kedai itu sejak PKP 1.0 dilaksanakan Mac tahun lalu.

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan itu berkata, permintaan bagi membaiki komputer meningkat dua kali ganda sejak tempoh itu sehingga sekarang.

“Tahun lalu sahaja perkhidmatan membaiki komputer meningkat 70 peratus dan permintaan daripada pelanggan juga kian meningkat.

“Berikutan itu kami telah menawarkan pelbagai promosi termasuklah menjual komputer riba terpakai serendah RM350 dan khidmat baik pulih komputer dengan alat ganti yang berpatutan.

“Begitupun prosedur operasi standard (SOP) sentiasa kami titik beratkan dengan melayan pelanggan di kaunter hadapan kedai saja bagi mengelakkan mereka berkerumun memasuki kedai,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Soleha Shukor 32, berkata, dia datang untuk membaiki komputer riba bagi membolehkan anak-anaknya mengikuti PdPR selepas sesi persekolahan dibuka pada Rabu.

Jelasnya, kedai terbabit menawarkan harga yang cukup berpatutan, sekali gus membuatkannya terpanggil mendapatkan khidmat di kedai berkenaan.

“Saya merata cari kedai yang murah di Melaka ni sehinggakan bergerak dari Pantai Puteri, Masjid Tanah dan Alor Gajah namun akhirnya menemukannnya setelah terlihat satu iklan di Facebook.

“Saya kena baiki komputer riba yang ada bagi memudahkan anak mengikuti pengajian atas talian kerana saya khuatir dia akan keciciran dalam pelajaran,” katanya.

Bagi Muhamad Hamidi, 36, sebaik PKP 2.0 diumumkan dia terpaksa bekerja di rumah namun berdepan masalah apabila komputer lamanya di rumah rosak.

Dia yang bekerja di sebuah syarikat di Ayer Keroh berkata, disebabkan kekangan kewangan kini, dia tidak mampu membeli komputer baharu.

“Mahu atau tidak saya terpaksa membaiki komputer berbanding membeli yang baharu kerana kita tidak tahu sampai bila PKP di Melaka akan berakhir,” katanya.

Views:

834
Kongsi :
Previous post Tiga wanita cedera akibat bahan kimia tumpah
Next post Berang tak dapat cuti, pekerja campak sofa dan tong gas masak dari tingkat lima
Ubah saiz-+=