Berang tak dapat cuti, pekerja campak sofa dan tong gas masak dari tingkat lima

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 22 Januari. – Berang permohonan cutinya tidak diluluskan majikan dipercayai menjadi punca seorang pekerja asing sanggup mencampakkan tong gas masak dan sofa dari tingkat lima pangsapuri didiaminya awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 pagi tadi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada penghuni pangsapuri berkenaan.

TONG gas masak yang dicampak dari tingkat lima pangsapuri. FOTO Media sosial

“Siasatan awal mendapati, suspek lelaki berasal dari Pakistan itu bertindak demikian dipercayai berkaitan permohonan cutinya untuk pulang ke kampung bagi menziarahi bapanya yang sakit ditolak majikan.

“Dia dipercayai mencampakkan tong gas masak dan sofa dari tingkat lima pangsapuri berkenaan tetapi bernasib baik kerana hanya menghempap kenderaan dan tiada individu di laluan ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya susulan itu polis menahan suspek yang berusia 25 tahun sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

KENDERAAN yang rosak dihempap tong gas masak dan sofa. FOTO Media sosial

“Suspek dipercayai mengalami masalah sakit mental dan masih menerima rawatan di hospital. Pihak polis juga masih belum dapat merakam keterangan warga asing itu.

“Setakat ini kes masih dalam siasatan kerana pihak polis perlu meneliti sekiranya laporan diterima daripada pemilik kenderaan terlibat,” katanya.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post PKP ‘lubuk rezeki’ buat kedai komputer
Next post COVID-19: Melaka kesan satu kluster baharu
Ubah saiz-+=