PKPB: Melaka tunggu pengumuman Menteri Kanan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DUYONG 4 Mei. – Melaka akan kekal menggunakan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga pengumuman baharu dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bermesyuarat pada semalam, namun masih belum ada sebarang ketetapan dibuat mengenai status perintah kawalan pergerakan di setiap negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ada kemungkinan pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat.

PRIHATIN… Sulaiman hadir Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Kota Melaka, di Dewan Japerun Duyong.

“Saya difahamkan belum ada sebarang keputusan atau pengumuman dibuat, maka kita akan terus menggunakan SOP seperti sebelum ini (SOP PKPP).

“Mungkin Menteri dan barisan jawatankuasa masih memikirkan kaedah terbaik untuk membendung penularan COVID-19 ketika ini atau mungkin juga ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat. Tidak esok, mungkin lusa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 150 penerima di dalam kawasan Parlimen Kota Melaka, bertempat di Kompleks Japerun Duyong, semalam.

Dalam pada itu, mengulas sama ada solat sunat Aidilfitri akan dibenarkan atau tidak berikutan peningkatan kes membabitkan institusi keagamaan di negeri ini, Sulaiman berkata, hal itu juga akan dibincangkan lebih lanjut selepas pengumuman dibuat MKN di peringkat pusat.

“Kita di peringkat kerajaan negeri kalau diikutkan mempunyai hak menentukan SOP berkaitan agama, tetapi apa-apa sekalipun, kita perlu menunggu keputusan MKN.

“Tetapi saya harap kita dapatlah menunaikan solat sunat Aidilfitri tahun ini memandangkan tahun lalu kita tidak dapat berbuat demikian,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post JAIM perketat SOP masjid dan surau
Next post Polis kesan sekumpulan lelaki didakwa pukul warga asing
Ubah saiz-+=