COVID-19: MPHTJ pertimbang penangguhan kadar sewa premis

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 16 Nov. – Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang dijangka diadakan pada minggu hadapan bakal menyelesaikan keluhan peniaga yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Yang Dipertuanya Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rintihan peniaga dan penjaja yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak Mac lalu berikutan terpaksa membayar caj sewaan premis setiap bulan, meskipun hasil jualan tidak memberangsangkan.

Katanya, sebelum ini pihaknya sudah menangguhkan tiga bulan pembayaran sewa bulanan kepada 684 peniaga daripada Mac hingga Jun lalu, namun pembayaran kembali berjalan seperti biasa selepas sektor ekonomi dibuka secara perlahan-lahan pada Julai.

“Lebih kurang 80 peratus daripada jumlah peniaga itu agak terkesan dan tinjauan saya di kawasan peniaga, ada di antara mereka yang mula membuka gerai makan pada petang, namun terpaksa ditutup pada jam 10 malam, malah ada juga yang tidak berniaga langsung.

“Ada juga peniaga kedai ikan bakar yang tidak mampu membayar gaji pekerja dan peniaga kraftangan juga mengadu hasil jualan merosot.

“Justeru itu, mengambil kira keperitan yang dilalui peniaga apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan semula, kita akan memutuskan penangguhan caj sewa bulanan (terhadap premis) itu dalam mesyuarat berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima memorandum Pengurangan Bayaran Gerai MPHTJ dan Isu Semasa oleh Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka di Kompleks Melaka Mall, di sini hari ini.

Shadan berkata mengenai keputusan untuk menghapuskan denda lewat lesen turut membabitkan kewangan MPHTJ dan ia dijangka diputuskan dalam mesyuarat sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut mengambil maklum memorandum itu serta hasrat kerajaan negeri menerusi saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang mahu semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini meringankan beban penjaja untuk berniaga di hadapan rumah.

“Kita alu-alukan penjaja yang mahu berniaga di hadapan rumah mahupun di tepi jalan supaya mengambil lesen dengan kita namun wajib mengambil suntikan tifoid (suntikan wajib kepada pengendali makanan) terlebih dahulu.

“Namun mereka perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan yang bersesuaian.

“Sehingga kini, lebih 200 penjaja kecil-kecilan dibenarkan berniaga di hadapan rumah dan di tepi jalan,” katanya.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post Pengusaha bas Melaka ‘nazak’
Next post Melaka tamatkan perjanjian tambakan laut bersama KAJD
Ubah saiz-+=