Pengusaha bas Melaka ‘nazak’

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 16 Nov. – Dilema lapan bulan menanggung kerugian disebabkan pandemik COVID-19 mengakibatkan pengusaha bas di negeri ini terjejas dan berdepan risiko gulung tikar.

Rata-rata pengusaha perkhidmatan bas sekolah, persiaran, pekerja, catar dan ekspres terpaksa menanggung kerugian hampir ratusan ribu ringgit akibat kekurangan sambutan.

Presiden Gabungan Bas Malaysia Cawangan Melaka Muhammad Azwan Jajendran Abdullah, 53, berkata, dilema terbabit mengakibatkan ramai pemain industri itu terpaksa mengorak langkah mencari pendapatan lain demi menyara keluarga sehingga ada yang sanggup menoreh getah demi sesuap nasi.

Menurutnya, pihaknya akur dengan penularan COVID-19 yang mengakibatkan pelbagai sektor ekonomi terjejas di negara ini bagaimanapun, dia berharap pelbagai bantuan dan inisiatif dimanfaatkan kepada pengusaha bas seperti mana sektor lain yang telah diberi perhatian kerajaan.

AZWAN

“Sebagai pengusaha bas kami terpaksa membayar insurans dan pembiayaan bulanan sejak Mac lalu dengan mencecah hampir puluhan ribu ringgit untuk sebuah bas sahaja.

“Cuba bayangkan jika seorang pengusaha terpaksa menguruskan puluhan bas bagi setiap bulan, malah ditambah dengan keadaan terpaksa menggaji pekerja, biarpun tiada sambutan terhadap perkhidmatan ini.

“Demi menyeimbangkan kewangan syarikat ada juga pengusaha terpaksa menjual pengangkutan mereka, namun tiada sambutan dari pembeli disebabkan masalah sama yang dihadapi, malah ada majikan terpaksa menjadi pemandu bas sendiri asalkan dapat menyara keluarga,”katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, di sini hari ini.

Sementara itu, pengusaha bas, Mohd Farid Eshak, 34, berkata, biarpun Program Subsidi Upah (PSU) telah banyak membantu pengusaha bas sepertinya bagi menggaji pekerja sebanyak RM600 sebulan, namun pihaknya masih terpaksa menanggung bebanan kewangan yang tinggi.

Katanya, keadaan terbabit mengakibatkan pengusaha terpaksa menanggung bebanan hutang yang banyak dengan pelbagai kos yang diperuntukkan dalam bulanan sejak Mac lalu.

ANTARA pengusaha bas meluahkan perasaan menerusi sepanduk selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah hari ini.

“Walaupun inisiatif PSU ini membantu pengusaha seperti kami, namun kami memerlukan pelbagai inisiatif lain disebabkan tiada keuntungan diterima syarikat disebabkan perkhidmatan kami tidak beroperasi.

“Secara keseluruhannya kami sebagai pengusaha yang merupakan antara penyumbang utama dalam sektor pelancongan negara begitu terkesan dan kecewa disebabkan tiada inisiatif khas diumumkan kepada kami melalui Belanjawan 2021,” katanya.

Pada masa sama, Chen Cheng Hwa, 32, berkata, kekangan kewangan berterusan itu tetap dihadapi pengusaha disebabkan tiada keistimewaan seperti penangguhan pembayaran bulanan seperti yang ditawarkan pihak bank.

Jelasnya, perkara terbabit disebabkan kebanyakan pengusaha bas yang membuat pinjaman melalui syarikat kredit terpaksa menanggung derita tiap kali berdepan pembayaran ansuran bulanan dilaksanakan.

“Kami terpaksa membayar seperti biasa kerana ada syarikat kredit yang tidak memberi penangguhan itu, saya sendiri perlu memperuntukkan lebih RM100,000 sebulan untuk tujuan itu walaupun tiada pendapatan stabil sejak Mac.

CHENG Hwa

“Kami harap rintihan kami dapat didengari oleh kerajaan terutamanya membabitkan moratorium pinjaman dan inisiatif bantuan lain agar sektor perkhidmatan pengangkutan dan pelancongan seperti kami mampu terus bertahan sehingga keadaan pulih sepenuhnya kelak,”katanya.

Terdahulu, sebanyak lima laporan polis telah diajukan gabungan terbabit yang mewakili kira-kira 150 pengusaha perkhidmatan bas terhadap lima kementerian yang didakwa tidak memperuntukkan dana khas bagi membantu golongan terbabit.

Views:

821
Kongsi :
Previous post Tuah reka logo, Azrul Rizad bawa pulang RM5,000
Next post COVID-19: MPHTJ pertimbang penangguhan kadar sewa premis
Ubah saiz-+=