Wajah baharu kios Menara Taming Sari

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Mei – Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) merancang untuk menaik taraf dan menambah jumlah kios di perkarangan Menara Taming Sari dalam usaha mempelbagaikan lagi produknya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nasrul Ahmad berkata, perancangan juga itu adalah bersempena ulang tahun ke-16 Menara Taming Sari.

Katanya, apabila siap kelak kemudahan itu diharap akan menarik lebih ramai pengunjung untuk melawat menara berkenaan yang juga antara ikon pelancongan Negeri Melaka.

“Selepas 16 tahun, kami kini dalam proses untuk menambah baik produk-produk di Menara Taming Sari, termasuk menaik taraf kios sedia ada kepada binaan baharu serta menambah bilangan daripada lapan unit kepada 15.

“Kios itu dijangka dibina berhampiran tapak premis lama. Selain makanan, kios ini juga akan menjual pelbagai barangan kraf tangan dan cenderamata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri dan Sambutan Ulang Tahun Ke-16 Menara Taming Sari, yang turut dihadiri Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam, hari ini.

Menurut Nasrul, besar harapan pihaknya bagi memastikan perancangan naik taraf itu dapat dilaksanakan, sekali gus memberi satu penanda aras baharu buat menara berketinggian kira-kira 80 meter yang menjadi ikon pelancongan Negeri Melaka.

“Cadangan pembinaan ini antara usaha kita menambah baik produk sedia ada jadi kelak apabila terlaksana ia akan memberikan wajah baharu buat Menara Taming Sari dan dapat menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post Persediaan Bila Larut Malam giat dilaksanakan
Next post Remaja 13 tahun mengaku salah bakar anak kucing
Ubah saiz-+=