Persediaan Bila Larut Malam giat dilaksanakan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Mei – Pemain industri terbabit dalam pelaksanaan aktiviti Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ kini sedang giat melakukan persiapan bagi memastikan kepuasan hati pengunjung dan pelancong.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, pelbagai aspek persiapan diambil kira bagi memastikan pelaksanaan itu berjalan dengan lancar dan mampu menggamit lebih ramai pelawat ke Melaka.

Katanya, Melaka Nightlife bakal menjadi salah satu tarikan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik pada waktu malam.

“Setakat ini Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Pahlawan Walk dan muzium bawah kendalian Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) antara yang terbabit dalam pelaksanaan Melaka Nightlife.

“Semua pihak terlibat sudah maklum dan mereka diminta untuk mengenal pasti segala infrastruktur, bekalan elektrik dan aspek pencahayaan dalam keadaan yang baik serta mencukupi demi keselesaan orang ramai.

“Kita fokus kepada aspek-aspek ini untuk memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri dan Sambutan Ulang Tahun Ke-16 Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam serta Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB) Nasrul Ahmad.

Zaidi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, pengunjung hanya perlu membayar RM10 seorang untuk menikmati perkhidmatan disediakan selain aktiviti Bila Larut Malam akan bermula dari 11 malam hingga 3 pagi.

“Menariknya juga, pakej Bila Larut Malam ini melayakkan pengunjung memenangi hadiah menarik yang ditawarkan menerusi cabutan bertuah dengan pembelian cenderamata khas TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

314
Kongsi :
Previous post Kenaikan gaji: Pacu motivasi, tingkat integriti penjawat awam
Next post Wajah baharu kios Menara Taming Sari
Ubah saiz-+=